Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mencuba produk halal yang dipamerkan dalam Sidang Kemuncak Halal Global atau Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 12 September 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Pengeluar produk halal Malaysia digesa rebut peluang tembusi pasaran Thailand

NAKHON SI THAMMARAT, 22 MAC: Pengeluar produk halal Malaysia digesa merebut peluang untuk bekerjasama dengan syarikat di Thailand bagi memasarkan barangan mereka berikutan permintaan yang tinggi terhadap makanan halal di negara itu.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel yang baru-baru ini mengakhiri lawatan kerja dua hari ke wilayah Nakhon Si Thammarat, berkata pensijilan halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia dan rakyat Thailand cukup menerima produk makanan Malaysia.

“Kami berharap dapat melihat pengeluar produk halal Malaysia menjalin usaha sama dengan syarikat Thailand untuk menubuhkan kilang mereka di sini.

“Dengan 30 peratus daripada 1.5 juta penduduk di sini beragama Islam, wilayah Nakhon Si Thammarat adalah lokasi strategik untuk menjadi hab halal bagi pasaran Thailand,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Jojie berkata wilayah itu mempunyai banyak tawaran dari segi sumber seperti barangan pertanian, perikanan dan ayam itik manakala pengeluar makanan halal Malaysia boleh menyediakan kepakaran mereka di sini.

“Pengeluar makanan halal Malaysia boleh meraih manfaat daripada wilayah itu terletak berhampiran Krabi, Songkhla, Satun dan Yala dengan jumlah penduduk Islam yang tinggi,” katanya.

Duta itu juga berhasrat untuk mewujudkan pautan bagi perdagangan produk makanan dari kedua-dua negara tanpa melibatkan orang tengah.

“Pada masa ini, sebahagian daripada produk kedua-dua negara didagangkan melalui orang tengah dan ini menyebabkan peningkatan kos dan harga barangan,” katanya.

Beliau berkata pautan itu boleh diperluaskan kemudian untuk produk pertanian termasuk daging, udang putih, buah-buahan dan juga sayur-sayuran.

Semasa lawatan dua hari ke sini, Jojie melawat syarikat getah Malaysia, Thung Yai Rubber Co Ltd, membuat kunjungan hormat ke atas Gabenor Nakhon Si Thammarat, Kajornkiat Rukpanichmanee, kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Nakhon Si Thammarat, Kanop Ketchart dan melawat ladang pertanian bersepadu, Ladang Por Rak 2 Ru, dimiliki oleh Suparat Chuchai.

Beliau menyifatkan lawatan kerjanya ke Nakhon Si Thammarat sebagai satu kejayaan kerana membolehkannya memahami keupayaan dan keperluan wilayah itu.

“Kami sentiasa bersedia memudahkan rakyat Malaysia yang berhasrat memasuki pasaran Thailand dan dengan lawatan ini, kami berharap dapat menyaksikan peningkatan aktiviti perdagangan dan ekonomi,” katanya.

“Dengan lawatan ini, saya berharap dapat menyediakan lebih banyak maklumat kepada syarikat Malaysia yang bercadang menembusi pasaran Thailand dan sebaliknya bagi syarikat Thailand, melalui saluran yang betul untuk mengurangkan Langkah Bukan Tarif (NTM) dan Halangan Bukan Tarif (NTB),” katanya.

Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dengan jumlah perdagangan RM113.16 bilion (US$24.83 bilion) direkodkan.

– BERNAMA


Pengarang :