EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menunjukkan pelekat Pandang Belakang, Di mana anak anda sekarang? yang menjadi tema Kempen Keselamatan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Keluarga 2024 yang dilancarkan di Hospital Selayang pada 21 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Amal ‘pandang belakang’ elak kes tertinggal anak dalam kenderaan

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SELAYANG, 22 MAC: Ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa menerapkan amalan ‘pandang belakang’ bagi mengelakkan kejadian anak tertinggal dalam kenderaan berlaku sebelum ini sehingga meragut nyawa.

EXCO kebajikan masyarakat berkata penjaga juga perlu mengamalkan pasang kerusi bayi sebelah kiri, sediakan mainan, letakkan barang peribadi, beri perhatian dan tetapkan peringatan.

“Selain itu amalkan pandang belakang yang menjadi peringatan ada kanak-kanak berada dalam kenderaan.

“Insiden terlupa anak di kenderaan atau Forgotten Baby Syndrome (FBS) boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Maka insiden yang telah berlaku memberikan amaran kepada kita bahawa tindakan pencegahan harus diambil segera bagi mengelakkan kes sama berulang,” kata Anfaal Saari.

Beliau ditemui ketika merasmikan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Keluarga 2024 di Hospital Selayang, semalam.

Beberapa kes kanak-kanak maut dalam kenderaan direkodkan antara November hingga Januari lalu, terbaharu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan lima tahun yang berlaku berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam pada 30 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan kempen bersepadu berterusan menerusi platform media sosial, media masa dan program khidmat masyarakat.

“Kerjasama turut akan dilaksanakan dengan Media Selangor, pihak berkuasa tempatan dan Smart Selangor agar kempen disebar secara meluas.

“Bagi fasa pertama, sebanyak 50,000 pelekat ‘Pandang belakang, Di mana anak anda sekarang?’ akan diedar kepada golongan sasar,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri juga sentiasa membuka ruang kerjasama kepada pemain industri terutama syarikat pemula bagi menyediakan teknologi sokongan seperti peranti dan aplikasi khusus buat penjagaan kanak-kanak.


Pengarang :