Pusat pengumpulan makanan MBSA ‘MySave Food’ di Bazar Ramadan Seksyen 19, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA kumpul hampir 2,000kg lebihan makanan di bazar Ramadan

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengumpul 1,975.83 kilogram (kg) lebihan makanan di bazar Ramadan setakat lima hari program MySave Food@Bazar Ramadan.

Menerusi Facebook, MBSA memaklumkan makanan yang ‘diselamatkan’ diagihkan kepada penduduk yang memerlukan selepas waktu berbuka puasa.

“Peniaga bazar yang terlibat boleh menghantar makanan yang tidak habis dijual dan masih elok ke khemah MBSA MySave Food dan sukarelawan kami sedia membantu.

“Peniaga dinasihatkan supaya merancang dengan baik kuantiti juadah yang disediakan bagi mengurangkan lambakan makanan yang tidak habis dijual,” katanya.

Dato’ Menteri Besar ketika meninjau program MySave Food@Bazar Ramadan di Seksyen 19 di sini Rabu lalu berkata program yang dirintis MBSA akan diperluas ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik perasmian majlis Program MBSA ‘MySave Food’ di Bazar Ramadan Seksyen 19, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Hadir sama (dari kiri) Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman, EXCO Belia Mohd Najwan Halimi, EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin dan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, program yang bertujuan membantu lebih ramai golongan memerlukan turut diikuti Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Program MySave Food@Ramadan Bazar dimulakan MBSA sejak empat tahun lalu dengan mengumpul lebihan makanan tidak habis dijual di bazar Ramadan untuk diagih kepada penduduk.

Pada tahun ini, program bermula 14 Mac sehingga 3 April depan setiap Isnin hingga Jumaat membabitkan tiga bazar Ramadan iaitu Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.


Pengarang :