Orang ramai mendaftar Pangkalan Data Utama (Padu) pada sesi townhall berkenaan Padu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 23 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Elak kebocoran, Padu dikendali penjawat awam, tiada pihak ketiga

SHAH ALAM, 23 MAC: Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) dikawal selia dan dibangun menggunakan kepakaran penjawat awam tanpa melibatkan pihak ketiga, kata menteri ekonomi.

Mohd Rafizi Ramli menjelaskan isu kebocoran data dan maklumat dapat diminimum kerana penjawat awam tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Satu risiko (kebocoran data) kalau menggunakan pihak ketiga atau kontraktor luar kerana dia tidak tertakluk kepada undang-undang. Penjawat awam semua tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi. Kalau ada kebocoran kami masuk penjara.

“Saya dan pasukan dari Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan, Jabatan Digital Negara dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) memastikan dalam proses kita melihat dan mengukur data daripada perancangan sehinggalah pelaksanaan, keselamatan data dan sistem (dititikberatkan).

“Langkah-langkah yang telah diambil itu (bagi melindungi data dan sistem) telah pun menepati piawaian antarabangsa,” katanya pada sesi town hall berkaitan Padu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli memberi taklimat pada sesi townhall berkenaan Pangkalan Data Utama (Padu) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 23 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mohd Rafizi berkata sejak dilancarkan pada 2 Januari lalu sehingga kini, pihaknya merekodkan ada cubaan memecah masuk namun tidak berjaya dan sistem itu kekal selamat.

“Saya faham kebimbangan mengenai kebocoran data kerana ada kes kebocoran sebelum ini. Tapi kalau yang bocor itu dari Telco (syarikat telekomunikasi) janganlah marah kerajaan. Jangan kerana mengalami kebocoran maklumat oleh syarikat swasta yang dituding jari ialah kerajaan.

“Saya tak nampak lagi ada rakyat Malaysia yang mengambil tindakan undang-undang kepada syarikat swasta yang banyak berlaku kebocoran maklumat sedangkan ada undang-undang yang membolehkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pangkalan data utama bersepadu adalah penting untuk rakyat bagi memastikan ketepatan penyasaran subsidi dalam membantu mereka yang benar-benar layak dan tepat kepada sasaran.

“Berpada-pada dalam memberikan pandangan kerana kita tidak boleh sampai alpa bahawa keberadaan satu pangkalan data utama bersepadu adalah cukup penting untuk rakyat.

“Jangan kerana pengalaman kita dengan syarikat swasta yang bocor atau jabatan kerajaan sebelum ini menyebabkan kita menolak terus langkah mempunyai satu pangkalan data bersepadu yang membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat besar kepada rakyat,” katanya.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah, sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang benar-benar layak.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang http://www.padu.gov.my bermula 2 Januari sehingga 31 Mac.

 


Pengarang :