AGENDAJENAYAH

Pemuda sembunyi pistol, peluru hidup dalam kereta ditahan

SHAH ALAM, 25 MAC: Polis menahan juruteknik kilang dan merampas sepucuk pistol serta enam butir peluru hidup di sebuah stesen minyak di Telok Panglima Garang dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat ACP Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan anggota dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kuala Langat 2.40 pagi selepas didapati menyembunyikan sesuatu di bawah kereta di kawasan stesen minyak berkenaan.

“Pemeriksaan di bawah kenderaan kemudian menemukan objek menyerupai pistol dan di dalamnya berisi enam butir peluru hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori kira-kira 40 minit kemudian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ahmad Ridhwan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil ke balai polis berdekatan atau hubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222 untuk membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :