Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San pada sidang media penganjuran Program ADN Muda Selangor 2024 di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 27 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

56 belia sertai ADN Muda Selangor, cadang, bahas usul seperti DNS

SHAH ALAM, 27 MAC: Pejabat Speaker dan Dewan Negeri Selangor (DNS) bakal menganjurkan Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2024 pada 27 dan 28 Mei ini.

Speaker Lau Weng San berkata program itu memberi peluang kepada belia untuk menimba pengalaman sebagai wakil rakyat dan membolehkan mereka membahaskan usul seperti ketika berlangsungnya sidang DNS.

Beliau berkata program dijalankan bersama Persatuan Pendemokrasian Sosial (SocDem Malaysia) dan Ahli Parlimen Belia Selangor itu juga mendidik peserta memahami proses penggubalan undang-undang peringkat negeri.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San pada sidang media penganjuran Program ADN Muda Selangor 2024 di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 27 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Program diadakan di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor dan dibuka kepada pelajar serta belia berusia dari 18 hingga 35 tahun. Ia turut ditawarkan kepada belia yang menganggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan serta mana-mana persatuan.

“Seramai 56 peserta akan dipilih dan mereka mewakili setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Peserta berpeluang mencadang serta membahaskan usul yang memberi impak kepada golongan belia,” katanya pada sidang media mengenai program berkenaan hari ini.

Weng San berkata permohonan akan dibuka selama sebulan bermula 3 April hingga 3 Mei dan pautan borang boleh didapati di Instagram dan Facebook ADN Muda Selangor serta laman web dewan.selangor.gov.my.

“Saya menyeru golongan belia di 56 kawasan DUN untuk merebut peluang menyertai program ini. Peserta terpilih akan diumum di sosial media ADN Muda Selangor pada 17 Mei,” katanya.


Pengarang :