Jambatan Francis Scott Key di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) runtuh pada 26 Mac 2024 selepas sebuah kapal kontena melanggar tiang jambatan. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia ikuti perkembangan jambatan runtuh di Baltimore

PUTRAJAYA, 27 MAC: Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Washington memantau rapat perkembangan insiden jambatan Francis Scott Key yang runtuh di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Wisma Putra berkata rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan berwaspada dan berhati-hati selain mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan hubungi kedutaan di 3516 International Ct NW, Washington, DC 20008, nombor telefon +1 (202) 375 4396 atau e-mel [email protected]

Menurut laporan media, jambatan Francis Scott Key itu runtuh ke dalam Sungai Patapsco awal Selasa selepas sebuah kapal kontena didaftarkan di Singapura melanggar tiang jambatan yang dibuka pada 1977, menyebabkan enam orang dipercayai maut.

– BERNAMA


Pengarang :