Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Barangan murah PKPS di Segi Fresh, empat lokasi hari ini

SHAH ALAM, 31 MAC: Warga Selangor berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di lima pasaraya Segi Fresh hari ini.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Segi Fresh berlangsung di cawangan Sungai Udang, Pekan Salak, Kajang, Sri Gombak dan Ijok.

Pada Julai lalu, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.

Jualan murah itu turut berlangsung di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 9 pagi bertempat di Balai Raya Kampung Batu Belah (Bandar Baru Klang) dan surau Nurul Iman Subang Suria (Kota Damansara).

Lokasi lain adalah Dengkil (Dewan Orang Ramai Taman Gemilang) dan Padi Pukal Parit 7, Ban 3 (Sekinchan).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selain enam barangan asas JER, barangan basah lain turut ditawarkan termasuk udang, bawang, kentang, sayur-sayuran, buah-buahan, santan dan barangan keperluan lain.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :