Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon ketika sidang media menjelang perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di antara Malaysia menentang Republik Kyrgyz di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 November 2023. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDANASIONAL

Pan Gon nafi laporan bakal tinggalkan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon menafikan laporan berita bahawa beliau telah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bersedia untuk meninggalkan pasukan negara.

Pengendali dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu berkata beliau tidak menghantar apa-apa surat kepada badan induk bola berkenaan dan komited untuk terus membimbing pasukan sehingga kontraknya berakhir.

“Selepas membaca laporan berita tersebut, saya terus menghubungi Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin bagi menjelaskan mengenai perkara ini.

“Saya sendiri telah memberi jaminan kepada beliau bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja,” menurutnya dalam kenyataan di Facebook rasmi FAM malam tadi.

Pada masa sama, Pan Gon berkata beliau akan terus komited membimbing skuad negara sehingga kontraknya berakhir pada hujung 2025 dengan misi utama membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Pan Gon dan barisan kejurulatihannya telah menghantar surat menyatakan kesediaan sekiranya terpaksa meninggalkan pasukan negara andai khidmat mereka tidak diperlukan lagi.

Pan Gon sedang mengalami saat yang sukar bersama Harimau Malaya susulan dua kekalahan berturut-turut 0-2 kepada Oman pada aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 baru-baru ini sekali gus jatuh ke kedudukan ketiga dengan mengumpul enam mata.

Ketinggalan tiga mata di belakang Oman dan Kyrgyzstan yang berkongsi dua posisi teratas, Malaysia berdepan misi wajib menang dalam baki perlawanan menentang Kyrgyzstan dan pasukan tercorot Taiwan pada Jun, jika mahu layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat lebih awal ke Piala Asia 2027.

Dua kekalahan kepada Oman, Harimau Malaya belum meraih sebarang kemenangan selepas lima perlawanan sejak kempen Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas yang menyaksikan mereka tewas kepada Jordan dan Bahrain sebelum seri dengan Korea Selatan pada aksi kumpulan.

-BERNAMA


Pengarang :