SHAH ALAM, 2 APRIL: Seramai 300 penunggang motosikal terima minyak petrol percuma anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Stesen Minyak Petronas Seksyen 7, di sini.
Datuk Bandarnya Ir Cheremi Tarman berkata rata-rata penerima terdiri daripada penghantar makanan, penjawat awam, pekerja industri dan pelajar.
“Inisiatif ini merupakan komitmen MBSA untuk membantu komuniti dalam kawasan Shah Alam selain merapatkan hubungan dengan masyarakat.
“Kita berharap dengan melaksanakan program kebajikan terhadap komuniti ia sekali gus dapat meningkatkan kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan warga Shah Alam,” katanya.
Ditemui selepas merasmikan program ‘Jom Isi Minyak Motosikal Percuma’ di sini, Cheremi berkata pihaknya berhasrat memperluas lagi inisiatif itu ke kawasan utara dan selatan Shah Alam.
“Insya-Allah, kita bercadang untuk anjurkan program ini pada setiap tahun supaya lebih ramai masyarakat disantuni,” jelasnya.
Sementara itu, penerima minyak petrol percuma Hisyamuddin Hasan, 39, berterima kasih dan memuji inisiatif MBSA membantu penunggang motosikal berjimat.
“Kerja seperti saya pemandu Grab (e-panggilan) ini memang banyak bergerak sana-sini dengan motor, sehari lebih kurang RM6 untuk petrol. Apabila dapat percuma hari ini syukur sangat, jimat belanja,” katanya.
Manakala, Rahimah Sidiahmad, 45, memuji inisiatif dilaksanakan pihak berkuasa tempatan itu dan berharap ia diteruskan lagi pada masa akan datang.
“Pertama kali dapat petrol percuma, bagus inisiatif macam ini harap MBSA teruskan lagi membantu golongan penunggang motosikal seperti kami,” katanya yang bekerja di Universiti Teknologi MARA.