– Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan harga berpatutan pada Program Semarak Syawal Agro Madani di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang pada 6 April 2024. Foto Facebook Berita RTM
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan Semarak Syawal Agro Madani bantu ringankan beban rakyat

KLANG, 6 APRIL: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), menganjurkan Jualan Semarak Syawal Agro MADANI di 753 lokasi di seluruh negara, sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata menerusi inisiatif itu, pengguna boleh mendapatkan barangan keperluan dengan potongan harga sehingga 30 peratus.

Beliau berkata inisiatif itu, bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu agensi berkaitan turun padang, membantu meringankan beban pengguna menjelang musim perayaan untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang rendah.

“Insya-Allah bekalan untuk jualan ini mencukupi, dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) juga bertanggungjawab melaporkan segera kepada kami, sekiranya bekalan di sesuatu lokasi jualan tidak mencukupi,” katanya pada Majlis Pelancaran Semarak Syawal Agro MADANI Peringkat Kebangsaan 2024 di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini hari ini.

Sementara itu, FAMA dalam kenyataan memaklumkan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM30.5 juta sepanjang program jualan berkenaan tahun ini.

Program berkenaan akan turut melibatkan Jualan AGRO MADANI di 113 lokasi pusat pemasaran tersebut bagi menawarkan nilai penjimatan yang lebih kepada para pengunjung.

Selain barangan segar seperti ayam, daging dan sayur-sayuran, pengunjung juga berpeluang mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri lain antaranya ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih di semua lokasi jualan terlibat.

– BERNAMA


Pengarang :