Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Denggi catat 2,579 kes, tiga kematian dari 24 hingga 30 Mac

PUTRAJAYA, 6 APRIL: Sebanyak 2,579 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 (ME13) bagi tempoh 24 hingga 30 Mac berbanding 3,041 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tiga kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan dalam tempoh berkenaan.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME13 adalah 44,144 kes berbanding 28,587 kes bagi tempoh sama 2023.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. Foto BERNAMA

“Manakala terdapat 31 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Beliau berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME13 adalah 135 dengan 114 lokaliti dilaporkan di Selangor, masing-masing 10 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang (lima), Negeri Sembilan (empat) dan Kedah (dua).

Sementara itu katanya bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME13 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 13 kes dengan tiada wabak berkenaan dilaporkan.

Bagi survelan zika pula, beliau berkata 621 sampel darah dan satu sampel urin dijalankan dan hasil kesemuanya adalah negatif.

– BERNAMA


Pengarang :