Aliran trafik menuju Lebuhraya Plus arah utara berhampiran Plaza Tol Jalan Duta setakat 12.00 tengah hari lancar berikutan warga kota mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri ketika tinjauan pada 7 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aliran trafik lebuh raya utama lancar takat 11 pagi

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar walaupun terdapat peningkatan jumlah kenderaan di beberapa kawasan setakat 11 pagi tadi.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aliran trafik di Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) menunjukkan keadaan lalu lintas lancar dan terkawal selepas berlaku kesesakan sehingga 10 pagi tadi.

“Di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) trafik sesak walaupun kenderaan lebih kurang sama seperti semalam iaitu 178,977 kenderaan,” katanya di sini hari ini.

Beberapa laluan Smart Lane diaktifkan bagi memastikan aliran trafik lancar. Foto X @plustrafik

Namun beliau berkata aliran trafik hampir kesemua lebuh raya utama di negara ini bergerak lancar.

Dalam pada itu akaun rasmi X Plus Trafik memaklumkan beberapa laluan Smart Lane sudah diaktifkan bagi memastikan aliran trafik lancar bagi perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Antaranya laluan Smart Lane di KM303.2 hingga KM297.0 arah Utara dari Tapah ke Gopeng, KM194.5 hingga KM184.0 arah Selatan dari Ayer Keroh ke Jasin dan KM8.1 hingga KM6.1 arah Utara dari USJ ke Seafield.

– BERNAMA


Pengarang :