Kompleks PKNS Shah Alam antara lokasi yang menawarkan pelbagai kelengkapan raya. Foto ihsan Tourism Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Beli-belah saat akhir? Sembilan lokasi ini tawar kelengkapan raya

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 8 APRIL: Hari raya hampir tiba dan ini masa yang dinanti-nantikan untuk membeli-belah saat akhir bagi membuat persiapan raya anda sekeluarga.

Tawaran pelbagai jualan, diskaun dan promosi, mari beraya sakan di sembilan lokasi membeli-belah di Selangor untuk memeriahkan sambutan raya dengan fesyen terkini.

SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam

Terletak bersebelahan, SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam merupakan tempat yang terkenal dan menjadi tumpuan untuk mencari baju raya dengan ribuan pengunjung dari kawasan berhampiran dan luar Shah Alam.

Dilengkapi kawasan riadah, pengunjung boleh berehat selepas berjam-jam membeli-belah. Daripada barangan isi rumah, fesyen hingga produk kecantikan, semuanya tersedia di sini. Terletak di tempat yang sama dengan bazar Ramadan PKNS, ia pastinya menjadi tumpuan pengunjung.

Bazar raya Sungai Besar, Sabak Bernam

Dibuka dari 6 petang hingga 1 pagi, bazar ini menjadi tumpuan penduduk. Dikendalikan ratusan peniaga kecil, pelbagai barangan dijual antaranya pakaian, kuih dan hiasan raya dan harga rendah.

Bazar ini juga terkenal dengan gerai roti canai terbang kari kambing, sesuai untuk moreh. Dilengkapi ruang letak kereta yang luas, pengunjung boleh membawa seisi keluarga dengan selesa.

Bagi mereka yang kembali untuk beraya ke Sabak Bernam, jangan lepaskan peluang untuk ke bazar ini dan membeli-belah buat kali terakhir.

Bazar raya Bandar Malawati, Kuala Selangor

Bazar Raya Rumpun Selangor di Bandar Malawati mengumpulkan 50 gerai pada tahun ini daripada pakaian, kuih raya, hiasan rumah dan banyak lagi.

Pengunjung boleh merebut peluang untuk memenangi cabutan bertuah dan membawa pulang jongkong emas, motosikal, peti sejuk, televisyen dan mesin basuh.

Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk membeli-belah sempena Aidilfitri di Kuala Selangor.

GM Klang, Klang

GM Klang kembali dengan Bazaar Rioooh Raya serta 40 gerai tersedia sehingga 9 April. Dibuka dari jam 10 pagi hingga 8 malam, pembeli boleh merebut promosi daripada pakaian, tekstil, barangan rumah, hiasan rumah dan lain-lain.

Rebut peluang untuk memenangi jongkong emas bernilai RM10,000 dengan pembelian melebihi RM200.

The Curve

Bernostalgia dengan Kiriman Raya di The Curve untuk menyelusuri seni dan budaya Malaysia. Beraya bersama The Curve pastinya akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan festival kraf, persembahan tarian muzikal raya, aktiviti seni dan kraf untuk kanak-kanak dan banyak lagi.

Bagi yang membeli belah pada saat-saat akhir, jangan risau. Terdapat 78 jenama yang disediakan seperti Seleksi Akma, Juragan, Psychedelic, Khatam dan lain-lain.

Seksyen 7, Shah Alam

Terkenal dengan jenama tempatan seperti Icahfa, Jovian, Minimalace dan lain-lain, anda boleh dapatkan set lengkap pakaian hari raya untuk OOTD anda.

Daripada baju raya, tudung, samping, semua ada di sini dengan harga berpatutan. Terletak hanya 30 minit dari Kuala Lumpur, tempat ini terkenal termasuk dalam kalangan penduduk luar Shah Alam.

1 Utama

Lawati Hikayat Sang Perantau yang megah terbina di pusat membeli-belah 1 Utama sehingga 14 April. Menekankan budaya Pantai Timur, pengunjung boleh bersiarsiar di sepanjang jeti mock up kampung nelayan dan menyaksikan teater wayang kulit dan pameran wau.

Lebih 41 gerai tersedia tahun ini daripada pakaian, tekstil, aksesori, hiasan rumah, kuih raya dan banyak lagi.

Bangi Sentral

Syurga membeli-belah yang lama terbina ini mesti dikunjungi semasa Ramadan. Terkenal dalam kalangan pembeli semasa musim perayaan, kawasan ini mempunyai aliran trafik yang tinggi walaupun pada hari bekerja.

Daripada baju raya, tudung dan juga aksesori, semuanya ada di sini. Bagi mereka yang merancang untuk membeli-belah di saat akhir, pastikan anda datang awal untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam trafik di Bangi.

 


Pengarang :