Aliran trafik meningkat susulan pengguna jalan raya mengambil peluang tol percuma sempena sambutan Aidilfitri ketika tinjauan berhampiran Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 8 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aliran trafik perlahan di lebuh raya utama takat 4 petang

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat 4 petang ini, berikutan pertambahan kenderaan menjelang Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan peningkatan jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan.

Beliau berkata Lebuhraya Plus dilaporkan sesak ke utara di Rawang menghala Sungai Buaya, Tapah menghala Gopeng, Juru menuju Perai dan Seberang Jaya ke Sungai Dua.

“Sementara arah Selatan sesak di Kempas menghala Pasir Gudang dan di LPT2, kesesakan dilaporkan berlaku di Plaza Tol Kuala Terengganu.

“Trafik juga sesak di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di Kota Kemuning menghala Hicom dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di Puchong Jaya menuju Jalan PJS,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau berkata trafik di kebanyakan lebuh raya lain masih terkawal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

– BERNAMA


Pengarang :