Jenazah pesara tentera, Kamizan Kasimon, 42, dan isteri, Noor Asmah Mat Zainal, 38, dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Gerik untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Rengas, pada 8 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Seorang lagi mangsa kemalangan di jalan Gerik-Jeli meninggal dunia malam tadi

IPOH, 8 APRIL: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik- Jeli, dekat Gerik semalam meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood dalam kenyataan berkata mangsa yang merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova berusia 54 tahun, meninggal dunia kira-kira 11.20 malam di Hospital Taiping.

Dalam kejadian 12.20 tengah hari semalam, suami isteri maut selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan MPV berkenaan.

Mangsa yang juga pesara tentera, Kamizan Kasimon, 42, dan isterinya, Noor Asmah Mat Zainal, 38, disahkan maut di tempat kejadian.

Anak lelaki dan perempuan pasangan itu masing-masing berusia 10 dan tiga tahun mengalami kecederaan di bahagian badan manakala lima lagi mangsa yang menaiki Toyota Innova juga cedera dan menerima rawatan di hospital.

– BERNAMA


Pengarang :