AGENDANASIONAL

Suami isteri maut, lapan termasuk bayi, kanak-kanak cedera kereta bertembung

IPOH, 7 APRIL: Suami isteri maut, lapan lagi termasuk seorang bayi perempuan dan dua kanak-kanak lelaki cedera selepas dua kereta bertembung di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, Gerik-Jeli, hari ini.

Tiga kanak-kanak berkenaan berada dalam kereta Proton Persona yang dinaiki suami isteri itu dan lelaki yang maut dipercayai veteran tentera berusia lingkungan 40-an manakala isterinya berusia 30-an.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata individu yang menaiki kenderaan Toyota Innova terdiri seorang lelaki dan empat wanita.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasaan pada jam 12.23 tengah hari, 13 anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan Toyota Innova dinaiki seorang lelaki dan empat wanita yang bertembung dengan Proton Persona dinaiki suami isteri yang maut bersama seorang bayi perempuan dan dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya setibanya di lokasi mangsa sudah pun dikeluarkan dan anggota bomba membantu pihak perubatan menguruskan mangsa.

“Mangsa dihantar ke Hospital Gerik menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan, ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :