Penemuan kesan minyak diesel di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Cheras, Batu 11 sekitar jam 9.30 pagi, 9 April 2024. Foto Facebook LUAS
AGENSISELANGOR

Pembersihan kesan minyak Sungai Langat selesai, LUAS pantau 24 jam

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerja pembersihan kesan minyak di Sungai Langat selesai dilaksanakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada jam 9.40 malam tadi.

Agensi itu di Facebook memaklumkan pihaknya sentiasa berada di lokasi 24 jam bagi pemantauan statik dan rondaan di kawasan sensitif dan dikenal pasti.

“Kerja pembersihan oleh kontraktor yang dilantik di lokasi terlibat penemuan punca kesan minyak di Sungai Langat pagi semalam telah dilaksanakan dan dipantau rapi oleh LUAS.

“Verifikasi LUAS di lokasi juga mendapati bacaan 0 ton dan tiada kesan minyak ditemui,” katanya.

Agensi itu juga memaklumkan pihaknya sentiasa bersiap sedia bagi sebarang tindakan mitigasi segera sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.

Semalam, LUAS menemukan kesan minyak di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan mengesyaki ia berpunca daripada kawasan perindustrian berdekatan dengan bacaan 2 ton.

Tindakan pencegahan dijalankan dengan meletakkan satu beg ‘activated carbon’ dan 12 keping ‘oil pad’ di dalam pembetung bagi memerangkap dan menghalang aliran kesan minyak mengalir ke Sungai Langat.


Pengarang :