Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Taman Dato’ Bandar, Klang pada 16 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Hantar penumpang, pemandu Grab ambil peluang singgah program jualan murah

KLANG, 16 APRIL: Pekerjaan sebagai pemandu e-panggilan dimanfaat sebaiknya seorang warga emas untuk ‘menyinggah’ ke beberapa lokasi jualan murah di lokasi berbeza setiap minggu.

Sambil menyelam minum air, Samsudin Abdul Rahman, 73, berkata dia tidak akan melepaskan peluang untuk berbelanja jika penganjuran program itu berdekatan dengan lokasi penumpang.

Jelasnya lagi, penyertaan dalam kumpulan WhatsApp turut memudahkannya mendapat maklumat tepat berkaitan lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diadakan di kawasan berbeza setiap hari.

Samsudin Abdul Rahman

“Pakcik tinggal di Seksyen 18, Shah Alam. Memang kerap ke jualan ini hingga Ijok dan Sementa sebab hantar pelanggan. Lagi mudah, pakcik sertai kumpulan WhatsApp JER.

“Senang tahu lokasi penganjuran dekat mana kerana pengurusan (WhatsApp) akan kemas kini lokasi jualan setiap masa,” katanya ditemui dalam program itu di Meru hari ini.

Suri rumah Husna Jaei, 51, berkata dia dan suaminya Mohd Yusuf Osman berbelanja lebih hari ini berikutan musim perayaan Aidilfitri selain masih menerima tetamu beraya.

“Saya dan suami beratur asing-asing jadi boleh beli kuantiti banyak. Hari ini beli ayam, beras, ikan, telur dan minyak anggaran lebih RM200. Kalau beli di pasar, kos lebih tinggi,” katanya.

ADN Meru Mariam Abdul Rashid bercakap kepada Media Selangor ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Taman Dato’ Bandar, Klang pada 16 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid berkata lebih 5,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut berbelanja di program berkenaan sejak Jun tahun lalu.

Beliau berkata hampir 20 jualan murah diadakan sepanjang tempoh berkenaan untuk memudahkan penduduk mendapatkan barangan asas pada harga murah selain meringkan kos sara hidup.

“Akan datang kita bakal agih 1,000 beg kitar semula untuk didik penduduk supaya jaga alam sekitar. Kita tidak mahu mereka gunakan beg plastik kerana beri kesan kepada ekosistem bumi,” katanya.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).


Pengarang :