Aksi pelakon terkenal Zaidi Omar ketika penggambaran telefilem Ayah Panggil Balik yang turut menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kerajaan Negeri Borhan Aman Shah di Kampung Kundang, Kuala Langat pada 30 Januari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Telefilem raya terbitan negeri ditayang malam ini di saluran TV2

SHAH ALAM, 19 APRIL: Telefilem khas sempena Aidilfitri yang menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO negeri akan ditayangkan jam 9 malam ini di saluran TV2.

Karya Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor turut menampilkan nama-nama besar seperti Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud, Syafie Naswip, Ropie dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Sarat mesej kekeluargaan dan perpaduan, drama itu turut menyelitkan skim Iltizam Selangor Penyayang untuk manfaat rakyat antaranya Inisiatif Roda Darul Ehsan dan bantuan perumahan.

Ayah Panggil Balik mengisahkan konflik dihadapi keluarga Cikgu Zainal (Zaidi Omar) hingga terpaksa menghalau dua anaknya Fendi dan Husna (Syafie dan Amira Drummer) dari kampung.

Sekitar sesi penggambaran telefilem “Ayah Panggil Balik’ di Surau Darul Nur, Kuala Langat pada 30 Januari 2024. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Lantaran itu, kedua-dua beradik berkenaan terpaksa meneruskan kehidupan di bandar dibantu pelbagai program Kerajaan Negeri termasuk modal untuk memulakan perniagaan.

Telefilem yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Langat dan Shah Alam juga akan ditayang di semua platform Media Selangor iaitu Facebook dan YouTube.

Sejak 2021, Kerajaan Negeri menggunakan pengaruh selebriti bagi memperkenal inisiatif rakyat. Pada tahun berkenaan, Senandung Aidilfitri pertama kali disiarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Tahun berikutnya ia diteruskan dengan menampilkan artis terkenal antaranya Ziana Zain, Sissy Imann, Elyana Emrizal, Raja Azura, Bell Ngasri dan Azlee Senario.

Syawal seterusnya Selangor pertama kali muncul dalam kaca televisyen siaran perdana dengan mempertaruhkan drama lakonan seniwati popular, Erra Fazira bertajuk Selalu Ada.

Datuk Ahmad Tarmimi Siregar (depan) bersama EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah (belakang, kanan) menjalani penggambaran telefilem “Ayah Panggil Balik’ di Surau Darul Nur, Kuala Langat pada 30 Januari 2024. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :