Peserta melihat tayangan video montaj ketika majlis Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ribuan ibu bekerja dapat insentif RM1,000, ringan beban jagaan anak

SHAH ALAM, 19 APRIL: Seramai 3,850 ibu bekerja di negeri ini menerima insentif MamaKerja berjumlah RM1,000 setakat Mac, bagi meringankan beban kos penjagaan anak-anak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menerima 5,595 permohonan keseluruhannya, dengan bakinya sedang diteliti untuk pengesahan dokumen.

Menerusi kenyataan ringkas di Facebook, beliau memaklumkan tinjauan dalam kalangan pemohon mendapati kos penjagaan anak diakui menjadi cabaran terbesar bagi ibu bekerja.

“Bagi membina sebuah negeri progresif yang mengangkat kebajikan rakyat, inisiatif ini sebahagian daripada agenda ‘care-economy’ yang rancak dikembangkan.

“Insya-Allah lebih banyak inisiatif kebajikan menyusul untuk pelbagai lapisan rakyat,” katanya.

Inisiatif MamaKerja yang dibuka bermula 1 November tahun lalu antara manifesto kerajaan perpaduan yang ditawar kepada rakyat Selangor pada pilihan raya negeri Ogos 2023.

Melibatkan peruntukan RM5 juta, skim tersebut memanfaatkan 5,000 wanita bekerja yang memiliki tiga anak bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.

Syarat kelayakan lain seperti berikut:

  • Wanita bekerja dan bermajikan
  • Rakyat Selangor (lahir di Selangor atau bermastautin di Selangor melebihi 10 tahun)
  • Mengundi di Selangor
  • Berpendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah
  • Individu yang mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Bukan penerima bantuan Asuh Pintar, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Tunas

Pengarang :