Tokoh Ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian Kuliah Dhuha Talaqqi Kitab Turath Islami (Ihya’ Ulumuddin) Imam al-Ghazali sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program talaqqi kembali bulan ini, kupas karya agung Imam Al-Ghazali

SHAH ALAM, 19 APRIL: Program Talaqqi Kitab Turath Islami bagi mengupas karya agung Imam Al-Ghazali akan diteruskan pada 24 dan 26 April di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menampilkan tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni, program lanjutan Festival Turath Islami Selangor yang dianjur tahun lalu akan mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan.

Selain Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), siri tersebut turut dianjurkan bersama Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath, pejabat Dato’ Menteri Besar dan masjid negeri.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi berkata program pada 24 April meliputi dua sesi iaitu kuliah Dhuha (9.30 pagi hingga 12 tengah hari) dan kuliah isyak (9 hingga 11 malam).

Beliau menjelaskan kuliah Dhuha juga akan diadakan pada 26 April bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dengan jangkaan antara 200 hingga 300 jemaah setiap sesi.

“Apa yang menarik, program kali ini kita berjaya menyiapkan dua jilid terjemahan Ihya Ulumuddin yang sudah berada di pasaran sejak November lalu,” katanya seperti dilaporkan.

Festival Turath Islami Selangor diadakan bermula tahun lalu untuk memartabat syiar Islam menerusi penganjuran majlis ilmu mendalam yang menampilkan syarahan tokoh ulama antarabangsa.

Program cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut berjaya menarik lebih 10,000 peserta termasuk pelajar keagamaan dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

Tahun ini, program tersebut akan diadakan selama lapan hari bermula hujung Mei dengan pelbagai pengisian selain pelancaran lima jilid karya terjemahan Ihya Ulumuddin.

 


Pengarang :