Mantan ADN Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong meninjau kerja-kerja Projek Selangor Penyayang di jalan bermasalah Lembah Beringin ke Kuala Kerling pada 16 November 2022. Foto Facebook Lee Kee Hiong
ADNSELANGOR

Ganti paip usang, jalan rosak antara jasa mantan ADN Kuala Kubu Baharu

KUALA KUBU BAHARU, 22 APRIL: Masalah paip bocor selama 60 tahun yang dihadapi penduduk Kampung Asam Kumbang, dekat sini selesai selepas mendapat perhatian mendiang Lee Kee Hiong.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung berkenaan berkata mantan wakil rakyat itu berusaha memastikan penduduk menikmati bekalan air tanpa gangguan susulan aduan diterima setiap minggu.

“Pada 2018 mendiang usahakan (pembaikan paip) dengan minta dana termasuk daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. Dalam tempoh setahun, pada 2019 masalah selesai. Kita dapat paip baharu.

“Inisiatif ini memanfaatkan lebih 350 keluarga. Sekarang masalah bekalan air tidak lagi menjadi masalah. Semua kerana mendiang yang bantu,” kata Simon Chen kepada SelangorKini.

Simon Chen

Jelasnya lagi, Kee Hiong juga individu penting yang membolehkan penduduk kampung berkenaan menerima jalan baharu, menggantikan laluan lama yang berlopak dan tidak rata.

Pada 21 Mac, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu Kee Hiong, 58, meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit barah sejak beberapa tahun lalu.

Dalam pilihan raya negeri lalu, wakil rakyat tiga penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan menewaskan calon Gerakan Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pilihan raya kecil di DUN berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).


Pengarang :