Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tiga, kri) menyampaikan kotak kitar semula kepada wakil komuniti pada majlis pelancaran Karnival Kitar Semula Bersama Komuniti Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 22 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ kutip 4,239 tan barangan kitar semula sepanjang tahun lalu

PETALING JAYA, 22 APRIL: Sebanyak 4,239 tan barangan kitar semula pelbagai jenis dikutip Majlis Bandaraya Petaling (MBPJ) sepanjang tahun lalu.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata daripada jumlah itu, 1,917 tan diperoleh menerusi program kutipan kitar semula pintu ke pintu di 85 kawasan.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon pada majlis pelancaran Karnival Kitar Semula Bersama Komuniti Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 22 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Program kutipan pintu ke pintu yang bermula sejak 2020 membabitkan 54,500 unit kediaman dengan purata penyertaan penduduk 60.08 peratus sehingga kini.

“Konsep program ini adalah kita memberikan kotak kuning kepada peserta kemudian apabila kotak itu sudah penuh dengan barangan kitar semula mereka boleh hubungi MBPJ untuk kutipan,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Program Karnival Kitar Semula Bersama Komuniti Petaling Jaya 2024 di Dewan Bankuet di sini, hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tengah) melawat pameran pada majlis pelancaran Karnival Kitar Semula Bersama Komuniti Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 22 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Mohamad Zahri berkata karnival itu bertujuan meraikan dan menghargai peranan serta kerjasama diberi penduduk Petaling Jaya dan rakan strategik seperti Nestle Products Sen Bhd dan Tetra Pak Malaysia Sdn Bhd.

“Kita berharap program ini dapat memberi pendekatan secara terus kepada penduduk setempat berhubung kaedah pembuangan sampah dengan betul serta mempratikkan amalan kitar semula,” ujarnya.

 


Pengarang :