Penerima menunjukkan barangan asas ketika Program Sumbangan Ehsan Rahmah di Balairaya Jalan Padang Golf, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 26 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

400 penduduk kurang mampu terima sumbangan barangan keperluan

HULU SELANGOR, 26 APRIL: Senyuman terukir di wajah 400 ketua isi rumah yang menerima pek barangan asas pada program Sumbangan Ehsan Rahmah di Balairaya Jalan Padang Golf, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pek makanan bernilai RM100 itu diserahkan kepada penduduk kurang berkemampuan (B40) dan diagihkan secara adil mengikut pembahagian kaum.

“Penerima hari ini terima dua ekor ayam dan enam barangan asas yang sentiasa ditawarkan dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER). Bezanya kali ini kita beri secara percuma.

Zaidah Alias, 67

“Ini juga antara program yang selalu kita buat bawah portfolio saya. Penerima dipilih oleh ketua kampung dan mereka terdiri daripada golongan yang memerlukan,” katanya kepada Selangorkini.

Program berkenaan turut dihadiri calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao yang meluangkan masa kira-kira setengah jam berkenalan dan beramah mesra dengan penduduk.

Sementara itu, penerima, Zaidah Alias, 67, berhasrat memasak barangan keperluan asas berkenaan untuk disedekahkan ke surau berhampiran bagi memperoleh pahala berpanjangan.

Belon anak lelaki Dolah, 70

“Terkejut juga dapat barangan ini. Tiba-tiba ada wakil ketua kampung datang dan maklumkan untuk datang ke program ini dan dia juga menyerahkan kupon kehadiran kepada saya.

“Saya mahu masak barangan ini sedikit dan sedekah di surau supaya dapat pahala berpanjangan. Lagi pun, saya hanya tinggal berdua dengan anak dan kami tidak makan banyak,” katanya.

Warga emas, Belon anak lelaki Dolah, 70, meluahkan rasa bersyukur kerana terpilih sebagai penerima sekali gus mengurangkan perbelanjaan dapur keluarganya untuk bulan hadapan.

“Syukur dan rasa seronok terima barangan ini. Kurang sedikit beban perbelanjaan keluarga kami. Saya juga mahu bagi anak-anak makan sedap-sedap,” kata bapa tujuh anak ini.

S. Sarala, 54

Bagi suri rumah, S. Sarala, 54, beliau berharap Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi PRK Kuala Kubu Baharu sekali gus dapat meneruskan program sumbangan dan bantuan yang kini dinikmati rakyat.

“Gembira dapat barangan ini tetapi lagi gembira kalau HARAPAN menang. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa tidak lupa bantu rakyat yang memerlukan,” katanya.


Pengarang :