HULU SELANGOR, 4 MEI: Perkhidmatan internet di daerah ini termasuk Hulu Bernam akan ditambah baik demi kemudahan penduduk setempat, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jaringan kemudahan internet yang sempurna dapat membantu penduduk khususnya peniaga dalam talian menambah pendapatan.
“Kita akan teruskan pembangunan di Hulu Selangor… contohnya menambah rumah mampu milik seperti semalam pecah tanah projek Rumah Selangorku begitu juga tren penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Serendah yang sudah hampir siap.
“Sudah pasti dengan adanya kemudahan ini akan memberi nilai tambah supaya penduduk di Hulu Bernam, Sungai Tengi dan kawasan sekitarnya mendapat limpahan kemajuan.
“Malah, calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao tawar liputan internet… takkan kita nak biar di Kuala Kubu Bharu sahaja. Kita akan tarik (internet) ke kawasan Hulu Bernam dan sekitarnya supaya ada jaringan internet sempurna sekali gus digunakan untuk tambah pendapatan peniaga dalam talian,” katanya.
Beliau berucap pada majlis Jalinan Aidilfitri bersama warga Felda di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Tengi di sini hari ini yang dihadiri ribuan warga Felda.
Semalam, Amirudin pada majlis pecah tanah Rumah Selangorku Lagenda Ardea di sini memaklumkan Kerajaan Negeri menumpukan pembangunan semula bandar dengan pelbagai kemudahan moden.
Katanya, Kerajaan Negeri akan melaksanakan ‘boosting’ projek seperti pembangunan institusi pengajian, latihan dan sektor pembuatan kereta bagi membugarkan ekonomi sekitar kawasan berkenaan.