AGENDAJENAYAH

Lelaki hilang ketika berkelah ditemukan lemas di air terjun

BALING, 13 MEI: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika berkelah di kawasan air terjun Lata Bayu dekat sini malam tadi ditemukan lemas 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata mangsa berusia 27 tahun ditemukan unit selam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kira-kira 15 meter dari tapak dia berkelah.

“Mangsa dipercayai lemas ketika menyelam kerana topeng selam masih dipakai ketika mayatnya ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Shamsudin berkata mangsa dikatakan keluar berkelah pada 11 pagi semalam bersama tiga rakannya sebelum bapa mangsa membuat laporan polis selepas rakan anaknya memberitahu berhubung kehilangan mangsa pada 9 malam tadi.

“Kali terakhir rakannya melihat mangsa ialah ketika mangsa memberitahu ingin pergi mencari cacing untuk memancing,” katanya.

Menurutnya operasi mencari dan menyelamat dimulakan 10 pagi tadi melibatkan 55 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :