Pelari menara nombor satu dunia Soh Wai Ching selepas memenangi larian menara di Penn 1 Plaza, New York pada 11 Jun 2022. Foto Facebook Soh Wai Ching
AGENDASUKANKINI

Wai Ching azam tawan puncak Menara Merdeka 118, pecahkan dua rekod dunia

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Jaguh larian menara negara Soh Wai Ching berazam mahu melunaskan misi serampang dua mata dalam percubaannya untuk ‘menawan’ Menara Merdeka 118, pada Disember ini.

Selain melengkapkan pendakian 118 tingkat di menara kedua tertinggi dunia itu, Wai Ching berkata beliau juga mahu melebur dua Rekod Dunia Guinness iaitu pendakian tangga vertikal paling hebat dalam masa sejam (lelaki) dan pendakian tangga vertikal paling pantas (lelaki).

Berdasarkan Rekod Dunia Guinness, Christian Roberto Lopez Rodriguez dari Sepanyol melakukan pendakian tangga vertikal paling hebat dalam masa sejam dengan jarak 1.457 kilometer (km) di sebuah menara di Albacete, Sepanyol pada 2022 manakala Ryoji Watanabe dari Jepun pula muncul sebagai lelaki paling pantas melakukan pendakian tangga vertikal dengan catatan masa 1 jam 6 minit dan 58 saat (s) di Menara Tokyo Skytree, Tokyo pada 2020.

“Saya difahamkan jarak ketinggian dari tingkat bawah ke tingkat 118 adalah 510 meter (m) jadi saya perlu membuat tiga kali pendakian untuk memecahkan rekod wakil Sepanyol dalam masa sejam terlebih dahulu.

“Kemudian saya perlu melengkapkan beberapa larian lagi untuk melakukan catatan masa di bawah 1:06.58s milik Watanabe untuk rekod dunia kedua pula,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu undangan program Bicara Lelaki kendalian Bernama Radio hari ini.

Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur. Foto BERNAMA

Jika tiada halangan, Wai Ching berkata beliau bercadang untuk melawat menara Merdeka 118 pada Julai bagi mengenal pasti jumlah langkahan yang perlu dilakukan untuk melengkapkan larian dan berharap dapat memulakan latihan seawal Oktober ini.

Pelari menara berusia 29 tahun itu juga berkata sebuah hotel terkemuka dunia yang akan memulakan operasi di Merdeka 118 juga berminat untuk menaja beliau, selain membantunya bertemu dengan pemilik bangunan iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan misinya hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Wai Ching optimis mampu mengekalkan kedudukannya di ranking teratas dunia bagi tahun ini memandangkan jarak mata dikumpulnya agak jauh untuk dikejar pencabar lain.

Setakat Mac lepas, Wai Ching telah mengumpul 971 mata manakala pencabar terdekatnya, Watanabe pula di kedudukan kedua dengan 771 mata diikuti Fabio Ruga dari Itali dengan 626 mata.

Beliau pada masa sama sedang melakukan persiapan bagi menyertai dua kejohanan tempatan hujung minggu ini sebelum menghadapi saingan di Poland dan Jerman minggu depan.

– BERNAMA


Pengarang :