Foto Facebook Selangor FC
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Faisal makin stabil, seru solidariti penyokong malam ini

SHAH ALAM, 18 MEI: Keadaan pemain Selangor FC Faisal Halim yang cedera disimbah asid semakin stabil malah dilihat bersemangat untuk kembali sembuh .

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Faisal juga kelihatan ceria selain menzahirkan rasa terima kasih dan bersyukur atas sokongan semua pihak.

“Saya telah menziarahi saudara Faisal Halim di hospital baru-baru ini. Syukur Alhamdulillah, keadaan beliau stabil dan sedang menjalani rawatan dengan baik.

“Beliau kelihatan ceria, bersemangat dan amat berterima kasih dengan sokongan dan doa dari anda semua. Syukur,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Amirudin juga mendoakan kejayaan Selangor FC yang memulakan kempen Liga Super 2024 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium MBPJ malam ini

“Kepada para penyokong mari sama-sama kita berikan sepenuh sokongan kepada pasukan dan terus bersolidariti secara aman demi Faisal Halim,” katanya.

Sementara itu, Selangor FC menzahirkan ucapan penghargaan kepada Amirudin atas sokongan berpanjangan yang diterima pasukan berkenaan.

“Terima kasih diucapkan kepada YAB Dato’ Seri Amirudin Shari atas sokongan yang berpanjangan kepada keluarga #GergasiMerah. Semoga kita memperoleh lebih banyak kejayaan bersama,” katanya.

Pada 5 Mei, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan serangan asid terhadap Faisal di sebuah pusat di Petaling Jaya.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan Faisal mengalami kelecuran tahap empat yang menjejaskan lapisan kulit sehingga melibatkan otot dan tulang.

Pemain sayap yang digelar ‘Mickey’ terpaksa menjalani pembedahan pada 5 Mei, 7 Mei dan terbaharu pada 9 Mei yang menumpukan prosedur tampalan kulit.

 

 


Pengarang :