BUDAYARENCANA

Mewawancara Jakarta

Oleh Cahaya Jais

Petaling Jaya selalu sibuk, tetapi yang pasti tidak sesibuk ibunya. Ibunya lebih arif menyantuni sesak, menyusun bangunan pencakar langit dan meramahi muka kelat orang-orangnya. Walaupun hatinya murni tetapi ramai tidak menggemarinya di hari biasa kecuali hari minggu.

Semasa menghirup lengang di tingkap, jalan raya di pagi Sabtu sedang berbasikal dengan anak-anak. Mereka angkat tangan tanda ucap selamat hari minggu. Hari ini mereka ingin mandi sungai, membersihkan kulit daripada minyak tumpah, ludah manusia, kencing anjing dan puntung rokok orang-orang yang tersekat dalam jammed.

Empat baju, tiga seluar dan sepasang baju tidur darab dua, dan satu beg kecil peralatan mandi. Semuanya dimuatkan dalam satu beg bagasi. Oh! Hampir lupa bawa ubat anti-radang dan alergi.

“Jangan lupa bawa Synflex juga, awak mungkin datang bulan semasa kita di Jakarta.”

Ping! Your driver has arrived.

Menuju lapangan terbang dari Petaling Jaya pada pagi Sabtu rupanya tidaklah terlalu menjengkelkan. Mungkin kerana cuaca mendung dan orang lebih memilih untuk tidur sedikit panjang hari ini.

***

Dari balkoni Nagomi Suite, ada gereja besar sedang duduk tegak. Bukan sahaja jalan raya, tetapi gereja itu juga sesak dengan orang-orang yang berkongsi iman yang sama. Menakjubkan, bukankah tempat ibadat seharusnya tenang dan lengang?

Orang selalu mengaitkan Jakarta dengan kesesakan. Sebut sahaja Jakarta, yang keluar daripada mulut orang tidak lain tidak bukan adalah macet. Sudah tiba masanya Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa Indonesia mempertimbangkan ‘Jakarta’ sebagai kata sifat dan digunakan sebagai sinonim kepada macet.

Ada apa dengan kesesakan? Apa yang teruk sangat terperangkap dalam 15 km/h-berhenti-10 km/h-berhenti-18 km/h-berhenti dibandingkan dengan terperangkap di bawah tempurung katak seumur hidup? Ya, kesesakan sering datang bersama kecewa dan marah. Tetapi bukankah Seneca pernah pesan, the greatest remedy for anger is delay?

Kesesakan adalah pengalaman yang dikongsi oleh semua orang pada satu ketika. Kesesakan bukan sekadar ‘sesak’ di jalan raya. Mungkin di saat kalian sedang berada dalam kesesakan ini, orang lain juga sedang berada dalam ‘sesak’ yang lain. Sebagai contoh, sesak beratur berjam-jam untuk tonton konsert kegemaran, para ibu bersesak-sesak pilih ayam-ikan di pasar pagi, sesak dalam tandas lebuhraya sebab semua orang tahan kencing dalam kereta, sesak masuk restoran sambal hijau Kampung Penchala untuk makan tengah hari, sesak tidak dapat tempat duduk dalam bas sekolah, sesak di bazar Ramadan TTDI dan sesak beratur untuk buat pasport di Pejabat Imigresen. Sesak tidak memilih muda dan tempat, sesak wujud dalam setiap usia dan peringkat.

***

Menghirup Jakarta memang penat. Tetapi sebenarnya ini peluang untuk kita rehat, untuk perlahankan langkah dan bernafas dengan ritma yang lebih tenang. Masa untuk kita berdialog dengan diri sendiri tentang apa yang lebih besar; Jibril atau kesabaran?

Barangkali kita boleh guna perspektif alternatif dengan belajar melihat kesesakan sebagai sebahagian rencah hidup dan bukannya halangan atau beban. Kata kuncinya di sini mungkin lebih kepada, paksakan diri untuk terima kesesakan ini sebab kita tidak ada pilihan, jadi kita cuba cari jalan untuk lihat ia daripada sudut pandang positif. Perspektif alternatif ini sebenarnya lebih kepada untuk sedapkan hati sendiri.

Contohnya, dalam kesesakan, kita boleh dengar lagu Orang Biasa daripada Darmas. Atau siniar tentang Why Modern Society Makes Us More Lonely. Jika kita dongak ke langit, mungkin ada awan bentuk gajah. Di tepi jalan, ada gerai pisang goreng rangup. Boleh juga singgah beli sebagai kudap-kudap menempuh sesak. Dan oh, ada panggilan video daripada buah hati!

***

Jakarta jika ditemu ramah, mungkin merasakan dirinya seekor gergasi patah hati yang terperangkap dalam ciptaannya sendiri. Dia sedar betapa beratnya tanggungjawab untuk menahan aliran kehidupan, tetapi tidak berdaya untuk bergerak. Dia mungkin kecewa tidak dapat mengawal bunyi hon yang berzikir dan huru-hara yang berpusar di sekelilingnya. Lebih sedih lagi, apabila Widodo sendiri mengatakan bebannya sebagai pusat pemerintahan dan kewangan sudah semakin sarat. Walaupun kewujudannya mengagumkan, dia akhirnya cuma menjadi tokoh dan simbol kecamuk yang melanda kehidupan manusia.

Wahai Jakarta, dengar sini. Kau adalah kuasa alam semula jadi, bahagian penting dalam landskap kota. Tidak salah untuk ada sedikit kekecewaan dan kesulitan yang kau timbulkan tetapi ketahuilah bahawa kau adalah peringatan tentang kehidupan urban yang meriah dan sibuk. Kau adalah definisi seorang ibu. Kau mempamerkan nilai kesabaran dan ketabahan membobok anak-anak yang tidak pernah tidur. Kau tempat di mana kekacauan melingkar tenang dan kemarahan bertukar harap, berkecamuk jadi harmoni yang sempurna. Jangan tenggelam dulu kerana kau negeri tempat orang mencari nasi. Jadi padamlah raut wajah seperti matahari tengah gerhana itu dan hiaslah mata bundar kau dengan senyum.

Dan aku akan berterima kasih kepada kau kerana peranan kau dalam membentuk bandar dan kehidupan ini, mengingatkan aku untuk menghargai hiruk-pikuk Petaling Jaya yang tidak akan pernah dapat menandingi kacau-bilau dan sabar sebesar Jibril di dada kau.

Baiklah, sampai di sini dulu. Hingga kita berjumpa lagi. Tekak aku belum puas disua mi ayam kau. Sekarang giliran aku untuk cuba guna perspektif alternatif sebab aku sedang terkandas dalam perjalanan pulang ke Petaling Jaya. KLIA ke Petaling Jaya tidaklah jauh mana tapi dah hampir dua jam tak sampai-sampai!

Arghh! Jalan jammed macam “baby, bangun. Kita dah sampai rumah.”


Pengarang :