Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kuala Kangsar menguruskan penduduk terjejas banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS). Foto Facebook APM Kuala Kangsar
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Perak menurun pagi ini, 100 mangsa masih di PPS

IPOH, 19 MEI: Jumlah mangsa banjir di Perak merekodkan penurunan kepada 100 mangsa daripada 29 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 529 mangsa melibatkan 163 keluarga, malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di dua daerah terjejas iaitu empat di Taiping dan satu di Kuala Kangsar.

Di Taiping, seramai 66 orang daripada 22 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Batu Hampar Trong, Sekolah Kebangsaan (SK) Matang, Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Baru Trong dan SK Temerlok Trong.

Sementara itu, di Kuala Kangsar, seramai 34 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid.

Kenyataan itu turut memaklumkan dua jalan iaitu FT 004 Jalan Raya Timur Barat (Kupang Gerik-Jeli) dan FT 1152 Felda Trolak Selatan, masing-masing dibuka satu lorong akibat kejadian tanah runtuh.

– BERNAMA


Pengarang :