Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor perinci langkah segera jika muncul gelombang baharu Covid-19

SHAH ALAM, 22 MEI: Langkah segera akan diambil sekiranya menerima laporan berhubung penemuan varian baharu Covid-19 di negeri ini, kata EXCO kesihatan.

Jelas Jamaliah Jamaluddin, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sentiasa memantau perkara itu susulan peningkatan wabak berkenaan yang direkodkan di Singapura, sejak dua minggu lalu.

“Setakat ini JKNS tidak melaporkan penemuan varian baharu di mana-mana hospital dalam negeri ini. Jika ada kita akan bekerjasama dan ambil langkah terbaik.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin

“Kita minta penduduk supaya sentiasa menjaga diri. Pakailah pelitup muka di tempat sesak, bukan hanya untuk cegah Covid-19 tetapi juga sekiranya tidak sihat, batuk. Ini untuk elak jangkitan,” katanya kepada SelangorKini.

Ahad lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedang meneliti trajektori gelombang baharu Covid-19 berikutan peningkatan dua kali ganda wabak berkenaan di Singapura.

Jamaliah turut menasihati penduduk supaya menjaga kesihatan dan peka dengan keadaan sekeliling termasuk cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Elak pergi kawasan yang banyak nyamuk sebab kita tak mahu terkena denggi. Begitu juga dengan cuaca panas ketika ini. Banyakkan minum air dan tidak berjemur tengah panas,” katanya.


Pengarang :