Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Subsidi diesel bersasar legakan nelayan, elak kos hidup meningkat

ARAU, 22 MEI: Keputusan kerajaan meneruskan subsidi diesel antara lain kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial dan mereka yang terlibat dalam bidang pertanian, penternakan atau nelayan, merupakan langkah baik dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak meningkat.

Seorang pesara dari Kampung Che Ok di Tambun Tulang, di sini, Hakimi Hashim, 54, berkata dia menggunakan kenderaan diesel bagi mengusahakan sawah seluas kira-kira lapan hektar yang memerlukan perbelanjaan diesel hingga RM130 seminggu.

“Saya mempunyai jentera tani kecil yang menggunakan diesel. Saya tahu tentang kerajaan nak bagi bantuan tunai kepada pemilik kenderaan diesel termasuk pesawah, tetapi kaedah pelaksanaan itu kerajaan perlu maklum lebih jelas lagi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam tadi mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel bagi pengguna di Semenanjung melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.

Menurut beliau perkara itu bermaksud pengusaha bas, teksi dan nelayan akan terus dipelihara dengan subsidi atau bantuan serta kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

Menurut Perdana Menteri penyasaran subsidi diesel itu tidak melibatkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing, sekali gus memberi penjimatan kepada kerajaan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun, iaitu yang pernah dinikmati kumpulan berkenaan sebelum ini.

Bagi penduduk Kampung Tengah Tok Pulau di Sanglang, Sharipudin Ahmad, 63, yang mengusahakan 2.87 hektar sawah, pengumuman terbabit menunjukkan bahawa rakyat terutama golongan B40 dan M40 terus diutamakan kerajaan.

Di Kedah, golongan petani dan nelayan menzahirkan rasa lega dengan jaminan kerajaan bahawa penyasaran subsidi diesel tidak akan membebankan mereka.

Bagi pesawah Mohd Azwan Md Daud, 35, dari Kuala Kedah, penyasaran subsidi diesel sememangnya wajar dilakukan bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak dapat menikmati subsidi dan bukannya golongan berpendapatan tinggi atau warga asing.

“Saya rasa sangat bersyukur sebab hari-hari beli diesel. Setiap pagi saya perlu beli diesel berjumlah RM600 dan petang pula beli lagi dalam RM400 untuk operasi dua jentera membajak, itu belum lagi (perlu beli) untuk kegunaan mesin padi,” katanya.

Muhammad Saiful Azwari Bakar, 43, seorang nelayan dari Kuala Kedah pula berkata penyasaran subsidi diesel akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan sekali gus boleh ditumpukan kepada tambahan insentif seperti bantuan tunai kepada nelayan.

“Sebab pendapatan nelayan pun tak tentu, kadang-kadang ada ikan, kadang-kadang tak ada, macam hari ini, saya tak pi (pergi) ke laut sebab beralun dan memang ikan kurang sekarang ini,” katanya.

Seorang lagi nelayan Abdul Rahim Ahmad, 49, dari Tebengau, Kuala Kedah berkata dia lega dengan pengumuman kerajaan yang memberi jaminan penyasaran subsidi diesel tidak akan membebankan golongan berkenaan.

“Memang sesuailah sebab sekarang semua harga barangan naik sampailah peralatan menangkap ikan macam pukat pun naik. Kalau tiada subsidi diesel, nelayan kena beli (diesel) mahal dan tentunya ikan jadi mahal, jadi kalau nak kekal subsidi atau nak tambah lagi subsidi sangat baik, kita sokong,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :