AGENDANASIONAL

Anwar seru jadikan setiap perayaan teras perpaduan, bersama lonjak negara

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat untuk bersama menjadikan setiap perayaan dan budaya sebagai teras atau elemen yang memperkuat kesepaduan dan mempertingkat persefahaman.

Menzahirkan ucapan Selamat Hari Wesak buat seluruh penganut Buddha terutamanya di Malaysia hari ini, Anwar berkata antara etika universal yang ditekankan dalam ajaran Buddha adalah menolak ‘ignorance’ (kejahilan/ketidaktahuan).

Justeru Perdana Menteri berharap rakyat berusaha meningkatkan kefahaman, merangkul segala kekuatan rakyat dan memberi keutamaan dalam melonjak negara ke depan.

“Semoga perayaan Wesak yang mencerahkan buat kalian, membawa kebahagiaan buat sahabat dan keluarga, selain memperkukuh kerukunan.

“Saya amat yakin negara ini mampu menjadi gagah dengan rakyatnya yang kuat dan berpadu. Sekali lagi, selamat menyambut Hari Wesak buat seluruh penganut Buddha di Malaysia!” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Hari Wesak adalah hari terpenting masyarakat beragama Buddha bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama.

— BERNAMA


Pengarang :