SHAH ALAM, 24 MEI: Pelantikan dua syarikat pengendali bagi perkhidmatan projek rintis van transit atas permintaan (DRT) di Selangor diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
Syarikat itu, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd melepasi proses pembuktian konsep, masing-masing pada 22 Disember 2022 dan 24 Februari 2023, kata EXCO mobiliti.
Menurut Ng Sze Han, kedua-dua syarikat itu turut dijemput membuat pembentangan kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT untuk pertimbangan sebelum dilantik secara rasmi.
“Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT mengambil pendekatan bersetuju melantik kedua-kedua syarikat ini kerana kelulusan yang diberikan Apad pada waktu itu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/04/P-SMKL20-4-500x333.jpg.webp)
“Hal ini kerana pentadbiran ini ingin menepati piawaian ditetapkan pihak berwajib demi memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan DRT terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, surat hasrat bagi perkara itu dikemukakan kepada syarikat pengendali perkhidmatan pada 15 Jun 2023, manakala surat pelantikan dikeluarkan pada 20 September 2023.
Beliau menambah kedua-dua syarikat beroperasi menggunakan empat van bagi percubaan pertama di lapan zon iaitu Ampang, Hulu Kelang, Puchong dan UPM-Serdang (Asia Mobility).
Tertumpu di kawasan padat dan sempit, Sze Han berkata syarikat Badan Bas pula beroperasi di laluan Subang Jaya, Petaling Jaya Utara dan Selatan serta Sungai Buloh.
Perkhidmatan DRT bawah inisiatif Mobiliti Selangor diperkenal Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam yang dipandu dengan penganalisaan data.
Usaha berkenaan bagi menyelesaikan isu ketersambungan awal dan akhir ke sistem pengangkutan awam utama seperti stesen kereta api dan kawasan perumahan yang tidak boleh diakses Bas Smart Selangor.