Ketua tanggungjawab sosial dan komunikasi korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor bergambar bersama penerima bantuan Kembali Ke Sekolah MBI di Pusat Khidmat Penyelaras DUN Selat Klang. Foto Facebook Ahmad Azri
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI agih bantuan tunai kepada 300 pelajar di DUN Selat Klang

SHAH ALAM, 24 MEI: Seramai 300 pelajar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang menerima sumbangan Kembali Ke Sekolah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua tanggungjawab sosial dan komunikasi korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor menerusi Facebook berkata setiap pelajar menerima sumbangan berjumlah RM100.

“Di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, bidang pendidikan terus diperkasakan melalui pelbagai program termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

“Kerajaan Negeri dan MBI telah berbelanja besar dalam memastikan agenda pendidikan di negeri tercinta ini terus diberi keutamaan,” katanya.

Baru-baru ini, MBI memaklumkan RM1.7 juta diperuntuk kepada 16,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk sesi persekolahan tahun ini.

Tahun lalu, anak syarikat negeri itu memperuntuk lebih RM10 juta bagi memperkasa sektor pendidikan merangkumi Program Tuisyen Rakyat Selangor, bantuan sekolah dan sumbangan prasarana.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pemerbadanan itu menyalur bantuan RM25.5 juta kepada agensi pendidikan antara 2021 hingga tahun lalu.

 


Pengarang :