Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah (tengah) mengupas kitab Hadith 40 pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Warisan keilmuan Islam tidak mundur, pusaka generasi baharu

Oleh MARWAN BUKHARI A HAMID

Sekiranya seorang hartawan meninggal dunia, hartanya akan menjadi pusaka kepada ahli keluarga yang layak menerima, atau pun mewakafkan dan mewasiatkan sebahagian harta selain pewaris pusakanya.

Selain tinggalan berbentuk harta, ada juga tinggalan lain yang tidak bersifat kebendaan. Contohnya ialah ilmu dan pemikiran yang ditinggalkan oleh ilmuwan, ahli falsafah dan pemikir. Semua itu menjadi pusaka kepada generasi akan datang selepas kewafatannya.

Pusaka itulah yang dinamakan sebagai turath yang asal-usul perkataannya dalam bahasa Arab ialah wa-ri-tha.

Dalam bahasa Melayu, salah satu perkataan yang mempunyai maksud yang sama, malah juga jelas terpengaruh dengan bahasa Arab ialah warisan.

Boleh jadi, ini pengaruh perbahasan fiqah harta pusaka kerana istilah waris, mawarith dan sebagainya diguna berleluasa. Namun, istilah warisan diguna dengan makna lebih meluas termasuk selain harta.

Dalam al-Quran juga ada satu tempat yang menggunakan perkataan turath ia-itu dalam surah al-Fajr, ayat 19.

Ia digunakan dengan maksud harta pusaka dalam konteks kecaman kepada pihak yang memakan harta itu secara rakus tanpa mengendahkan halal haram.

Terdapat juga ayat lain yang tidak menggunakan kalimat turath secara khusus tetapi terbit daripada asal kata yang sama iaitu wa-ri-tha.

Antaranya ialah surah al-A’raf ayat 169 dan Ghafir ayat 53 yang kedua-duanya merujuk kepada pewarisan kitab Taurat dalam kalangan Bani Israel.

Surah Fatir ayat 32 pula merujuk kepada kitab al-Quran yang diwarisi oleh umat Nabi Muhammad SAW. Surah al-Syura ayat 14 pula digunakan dengan maksud pewarisan kitab secara umum oleh umat-umat terdahulu daripada generasi sebelum mereka.

Penggunaan al-Quran terhadap kalimat yang bermuara kepada asal yang sama dengan turath itu menunjukkan warisan tidak bermaksud harta benda sahaja, malah lebih penting ialah wahyu dan ilmu yang menjadi panduan hidup.

Tambahan pula, satu hadis terkenal diriwayatkan Imam al-Tirmidhi, ‘para ulama ialah pewaris para nabi’ juga menunjukkan bahawa ilmu dan pemikiran berasaskan panduan nabi itulah hakikat warisan.

Sungguh pun secara umumnya perkataan turath turut merujuk kepada kitab suci dan hadis Nabi SAW sebagaimana disebut di atas, namun selalunya penggunaan dalam wacana keilmuan Islam terbatas kepada warisan keilmuan dan pemikiran yang ditinggalkan ilmuwan dan pemikir.

Contohnya turath bidang tafsir, ilmu kalam, hadis, fiqah, falsafah, sastera, bahasa dan sebagainya.

Orang ramai hadir mendengar kupasan kitab Hadith 40 oleh Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Tinggalan ilmu

Oleh sebab itu, dalam buku al-Tariq Ila al-Turath (Jalan Menuju Turath), bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab mentakrifkan turath sebagai produk manusia yang dipindahkan secara lisan dan tulisan kepada umat Islam sejak 100 tahun lalu.

Takrif itu berkaitan dengan tinggalan keilmuan dan pemikiran manusia merangkumi aneka bidang.

Menariknya, menurut beliau warisan keilmuan itu tidak hanya melibatkan produk muslim, malah juga daripada bukan muslim yang menggabungkan diri de-ngan tamadun Islam satu masa dahulu.

Turath dengan makna ini bukan hanya ada di rantau Arab malah juga di seluruh dunia termasuk Nusantara.

Menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memelihara warisan agung ini. Pemeliharaan itu boleh dilakukan dengan pelbagai cara termasuk belajar, mengajar, mengkaji, mengadakan program tentangnya dan sebagainya.

Apabila kita bercakap soal pemeliharaan warisan keilmuan dan pemikiran umat Islam, terdapat beberapa pandangan balas.

Ia termasuk anggapan bahawa pemeliharaan warisan ini akan memundurkan umat Islam kerana realiti hari ini sudah berbeza berbanding dalam karangan silam.

Bertentangan dengan pendapat itu pula menolak produk pemikiran dan kajian hari ini kerana beranggapan segalanya sudah terjawab dalam turath.

Secara tidak sedar, pandangan ini mengiyakan tuduhan yang mengaitkan turath dan kemunduran tadi. Pandangan sederhana dan bijaksana menolak kedua-dua sudut ekstrem itu.

Kita hendaklah menghargai dan memanfaatkan khazanah keilmuan dan pemikiran umat Islam. Dalam masa sama, kita berinteraksi dengan cabaran zaman kita.

Dalam bukunya berjudul al-Turath wa al-Tajdid (Turath dan Pembaharuan), Sheikh al-Azhar Dr Ahmed Tayyib mengakui kewujudan segelintir masalah dalam turath yang bercanggah dengan objektif dan semangat agama.

Orang ramai hadir mendengar kupasan kitab Hadith 40 oleh Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Warisan Islam

Tetapi hal negatif itu amat sedikit jika dibandingkan dengan sudut positif. Justeru amat pelik jika hampir keseluruhan warisan keilmuan umat Islam ditolak dan disalahkan secara semberono.

Beliau juga menyebut bahawa menghargai turath tidak bercanggah dengan visi pembaharuan Islam. Apa yang penting ialah memahami kaedah berinteraksi de-ngan turath, antaranya menurut Ahmed Tayyib ialah membezakan antara perkara tetap dan berubah-ubah dalam agama.

Contoh yang mungkin relevan di ruang terbatas ini ialah turath berkaitan politik dan pemerintahan. Konteks politik dahulu berbeza dengan zaman ini.

Tapi prinsip berupa melaksana keadilan, kebajikan rakyat dan sebagainya tetap perlu dicapai walau dengan cara berbeza dengan dahulu.

Sebaliknya kaedah salah dalam hal ini akan menjerumuskan seseorang untuk hidup bertentangan dengan realiti hari ini atau romantis dengan kisah pemerintahan silam.

Akhir kata, memelihara dan menghargai turath tidak akan memundurkan kita, malah akan lebih menguntungkan kita dalam mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi. Sebaliknya, kaedah simplistik dalam berinteraksi dengan turath yang merugikan seseorang.

*Penulis menganggotai Sekretariat Turath Islami Selangor


Pengarang :