SHAH ALAM, 28 MEI: Orang ramai dijemput hadir ke Festival Turath Islami Selangor yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Bermula 26 Mei hingga 2 Jun, bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab meneruskan kupasan kitab Hadis 40 karya Imam An-Nawawi.
Sesi pengajian bermula jam 9 pagi hingga 10 malam diselang-seli dengan ulasan tokoh agama Syeikh Hairul Nizam Mat Husin.
Pengunjung juga berpeluang ke Pameran Al-Wahyu yang mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.
Turut dipamer dalam pameran itu ialah naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800.
Naskhah berkenaan dibawa dari Muzium Al-Quran Narrathiwat, Thailand.
Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman web www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.