Barisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor berbahas pada persidangan ADN Muda Selangor di Bangunan Wisma DNS, Shah Alam pada 28 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

56 belia sertai ADN Muda Selangor, bahas enam usul isu negeri

SHAH ALAM, 28 MEI: Seramai 56 belia menyertai program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2024 yang berlangsung dua hari bermula semalam.

Memulakan persidangan di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor (DNS) jam 10 pagi hari ini, ADN muda berkenaan membawa enam usul berkaitan isu di negeri ini.

Usul pertama yang dibahaskan adalah gesaan agar Kerajaan Selangor merangka dasar pendidikan inklusif untuk semua belia.

Manakala usul kedua berkaitan program pemadanan kerja sedia ada bagi mengatasi isu pengangguran dalam kalangan penduduk.

Usul ketiga pula berhubung tindakan tegas terhadap perniagaan yang dikendali warga asing yang menyalahgunakan lesen perniagaan milik warga tempatan.

Selain itu, usul keempat berkaitan rancangan pencegahan banjir yang merangkumi sistem perparitan, tebatan banjir dan pendalaman sungai.

Usul seterusnya menggesa Kerajaan Negeri memperluas Skim Smart Sewa di bandar utama untuk mengatasi isu kemampuan kos kediaman dan menambah jaringan sistem pengangkutan awam.

Turut hadir bagi sesi penggulungan ialah EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail, ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze dan ADN Bukit Gasing R Rajiv.

Program ADN Muda Selangor dengan kerjasama Persatuan Pendemokrasian Sosial dan Ahli Parlimen Belia Selangor dibuka kepada pelajar serta belia berusia dari 18 hingga 35 tahun.

Ia turut ditawarkan kepada belia yang menganggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan serta mana-mana persatuan.

Penganjuran sejak 2013 merupakan program khas bawah DNS bagi melahirkan belia berfikiran kritis khususnya terhadap polisi Kerajaan Negeri.


Pengarang :