Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas (tengah) melihat replika rumah contoh pada Majlis pelancaran 72 unit Rumah Teres 2 Tingkat Seksyen 8 yang diadakan di Tapak Puteri Ariana 2, Kota Puteri, Batu Arang pada 25 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Promosi produk hartanah, PKNS anjur karnival di empat lokasi

SHAH ALAM, 28 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menganjurkan kempen Pilih Karnival PKNS di empat kawasan perbandaran terpilih sebagai satu daripada inisiatif meningkatkan lagi jualan projek pembangunan hartanah bernilai lebih RM1 bilion yang dilaksanakan tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Ir Md Kamarzan Md Rais berkata kempen berkonsepkan karnival itu akan bermula di Shah Alam pada 29 dan 30 Jun, diikuti penganjuran di Selangor Cyber Valley dan Antara Gapi, masing-pada pada 27 dan 28 Julai serta 24 dan 25 Ogos sebelum berpindah ke lokasi terakhir di perbandaran Kota Puteri pada 28 dan 29 September.

“Karnival ini memberi peluang kepada kami untuk mempamerkan pelbagai produk hartanah PKNS dan anak syarikatnya seiring dengan hasrat PKNS untuk membawa jenama Kumpulan PKNS sempena ulang tahun penubuhan ke-60 pada Ogos nanti.

“Ia juga menjadi medium untuk menarik minat bakal pembeli baharu dan juga pembeli sedia ada selain mengukuhkan kesedaran orang ramai berkenaan produk-produk perumahan PKNS menerusi promosi projek-projek sedia ada dan bakal dilancarkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen itu di sini hari ini.

Lakaran rumah teres dua tingkat, Ixora yang dibina di Antara Gapi, Serendah. Foto PKNS

Md Kamarzan berkata pihaknya menyasarkan kehadiran sekitar 5,000 pengunjung secara keseluruhan dengan anggaran nilai jualan melebihi RM740 juta, peningkatan lebih sekali ganda berbanding RM310 juta yang dicapai menerusi kempen serupa sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata karnival yang akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik di kesemua lokasi pilihan seperti aktiviti berbasikal, menanam pokok, pertandingan memasak, zoo haiwan jinak mini, pertandingan mewarna, forum perdana serta persembahan artis itu turut menjadi platform untuk mendekatkan PKNS dengan masyarakat, sekali gus memupuk hubungan yang lebih erat dengan penduduk di dalam kawasan komuniti perbandaran PKNS.

Md Kamarzan berkata pihaknya berharap kempen Pilih Karnival PKNS itu dapat meletakkan PKNS sebagai pemaju pilihan utama rakyat selain mengekalkan jenamanya sebaris dengan rakan-rakan pemaju dalam industri hartanah, khususnya di Selangor.

“Menerusi kempen ini, bakal pembeli juga berpeluang menikmati pakej jualan menarik di samping pembelian barangan elektrik berjenama dengan harga istimewa untuk pembeli rumah PKNS sebagai tanda penghargaan atas sokongan pembeli kepada pembangunan PKNS,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Pilih Karnival PKNS merupakan penjenamaan semula daripada kempen Discover PKNS yang dilaksanakan tahun-tahun terdahulu yang telah memberikan impak positif kepada jenama PKNS dan perbandarannya.

Md Kamarzan berkata selain berjaya meningkatkan nilai jualan hartanah tahunan, kempen Discover PKNS telah mendapat sambutan amat menggalakkan di setiap lokasi penganjuran hingga dinobatkan sebagai StarProperty Readers’ Choice (Newsmaker of the Year-by Highest Vote) di StarProperty Awards 2024, baru-baru ini.

“Bagaimanapun kami putuskan untuk penjenamaan semula kempen itu kepada Pilih Karnival PKNS tahun ini bagi mewujudkan elemen lebih segar dengan beberapa pembaharuan dilakukan untuk memastikan kesinambungan impak kempen berterusan,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :