Orang ramai mendengar kupasan kitab hadis 40 karya Imam an-Nawawi yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Univesiti Malaysia Sabah Dr Umar Muhammad Noor pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peserta puji kupasan kitab hadis 40 dalam festival turath, santai tapi padat

SHAH ALAM, 31 MEI: Peserta Festival Turath Islami Selangor memuji penyampaian Dr Umar Muhammad Noor dalam mengupas kitab hadis 40 karya Imam an-Nawawi di masjid negeri disini malam tadi.

Muhammad Aidil Mohd Sari, 21, berkata kupasan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah sangat padat namun disampaikan secara santai dan mudah difahami.

Aidil Mohd Sari, 21

“Ketika di zaman persekolahan, selepas solat saya sering membaca hadis kitab 40 ini.

“Jadi saya hadir malam ini untuk memantapkan pemahaman saya dan kupasan Dr Umar membantu saya memahami kitab ini lebih jelas,” kata pelajar Madrasah Ar-Riyad, Gua Musang, Kelantan.

Muhammad Yunus Minhat, 33

Bagi guru Sekolah Rendah Agama Bukit Baru, Melaka Muhammad Yunus Minhat, 33, beliau mahu mengambil keberkatan memandangkan kitab itu sentiasa menjadi tumpuan negara Islam di serata dunia.

“Pertama kali saya hadir ke festival ini dan rasa sangat seronok mendengar ulasan Dr Umar yang disampaikan secara santai tapi padat dan fasih,” kongsinya.

Abdul Mukmin Rahim, 26

Bagi Abdul Mukmin Rahim, 26, menyifatkan ulasan Dr Umar membawa pemahaman yang lebih jelas terhadap kitab itu.

“Hadis 40 susah difahami, saya hadir untuk dapat kefahaman lebih jelas. Ulasan Dr Umar banyak memberi contoh memudahkan saya menghadam kitab ini dengan mudah,” katanya.

Festival kali kedua ini berlangsung sejak Ahad hingga 2 Jun dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Dimulakan dengan kupasan Kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dan Pameran Al-Wahyu yang membawa manuskrip tulisan tangan berusia ratusan tahun.

Turut berlangsung forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu yang menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.

Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi http://www.turathislamselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.

 


Pengarang :