Pemain Harimau Malaya Faisal Halim meraikan jaringan ketika menentang Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, Qatar pada 25 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Aksi Harimau Malaya ‘tempang’ tanpa lima pemain termasuk Faisal Halim

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Pemain tengah Zhafri Yahya yakin Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon mampu mengendalikan pasukan yang berdepan krisis kecederaan menjelang dua aksi getir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan depan.

Lima pemain jentera serangan Harimau Malaya terpaksa disisihkan akibat kecederaan iaitu dua pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi dan tiga penyerang Darren Lok, Muhammad Syafiq Ahmad dan Romel Morales.

Pemain Kuala Lumpur (KL) City FC itu berkata situasi itu memberi kesan kepada pasukan yang berdepan misi wajib menang ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan, namun yakin Pan Gon mempunyai cara mengatasi masalah itu.

“Tidak dinafikan pemain yang cedera ini berpengalaman, mereka pemain tetap skuad kebangsaan, jadi serba sedikit itu (tempang) ada,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada masa sama, Zhafri, 30, yang berupaya bermain di posisi sayap berkata ketiadaan pemain berkenaan membuka peluang kepada pemain lain membuktikan kemampuan bersama pasukan kebangsaan.

Zhafri turut mengintai peluang untuk menembusi senarai akhir skuad dan meraih penampilan antarabangsa pertamanya selepas tiga kali dipanggil menyertai kem latihan pusat sejak dua tahun lalu.

“Saya rasa berbangga untuk hadir kali ketiga, saya rasa ini peluang untuk berikan yang terbaik kepada pasukan. Bila saya datang sini saya ingin buat yang terbaik untuk diri dan karier, jadi saya mengharapkan dapat buat yang terbaik dan dapat kepercayaan jurulatih,” katanya.

Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek pada 6 Jun sebelum menutup kempen saingan Kumpulan D bertemu Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun.

Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di posisi ketiga kumpulan dengan enam mata sementara Kyrgyzstan sebagai pendahulu, berkongsi sembilan mata dengan Oman di tempat kedua manakala Taiwan tercorot tanpa mata.

– BERNAMA


Pengarang :