Orang ramai mendengar syarahan kehidupan Imam an-Nawawi sebagai teladan buat pencari ilmu yang disampaikan Ustaz Dr Adi Hidayat ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Teladani ketekunan Imam an-Nawawi beribadah agar hidup diberkati Allah SWT

SHAH ALAM, 31 MEI: Umat Islam disaran teladani ketekunan Imam an-Nawawi ketika menuntut ilmu bagi memastikan kehidupan diberkati Allah SWT.

Pengarah Pusat Kajian Islam Quantum Akhyar Institut Ustaz Dr Adi Hidayat berkata Imam an-Nawawi banyak beribadah sepanjang hayatnya tanpa menghiraukan makan dan tidur.

“Imam an-Nawawi atau nama sebenarnya Yahya ibn Syarafuddin ibn Hasan dilahirkan pada pertengahan Muharram 631 Hijrah di salah sebuah kampung Nawa di Damsyiq (Syria).

“Imam an-Nawawi sepanjang hayatnya banyak membaca al-Quran dan berzikir malah beliau juga sering berpuasa dan berjaga malam sama ada untuk solat, baca al-Quran dan menulis.

Ustaz Dr Adi Hidayat menyampaikan syarahan kehidupan Imam an-Nawawi sebagai teladan buat pencari ilmu ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Beliau sedari kecil lagi membenci apa sahaja aktiviti yang menjauhkan dirinya dari al-Quran. Sehinggakan pada satu ketika, apabila kanak-kanak memaksanya bermain, Imam an-Nawawi menangis kerana masa yang disia-siakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana : ‘Kehidupan Imam an-Nawawi sebagai Teladan buat Pencari Ilmu’ sempena Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Di samping itu, Dr Adi Hidayat menjelaskan bapa Imam an-Nawawi seorang pedagang turut mementingkan hasil jualannya bagi memastikan keluarganya mendapat sumber halal.

“Pastikan yang melekat pada diri kita ini adalah daripada sumber halal, penting mencari sumber halal jika ingin hidup diberkati meskipun kita bukan ulama mahupun tuan guru.

“Ibu bapa juga perlu menjadi teladan yang baik kepada anak kerana anak akan mengikut kita, baik ibu bapanya baiklah mereka jika tidak sebaliknya,” katanya.

Ustaz Dr Adi Hidayat menyampaikan syarahan kehidupan Imam an-Nawawi sebagai teladan buat pencari ilmu ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dr Adi Hidayat yang juga Naib Pengerusi Anggota Pimpinan Majlis Tabligh Pusat Muhammadiyah turut menitipkan pesanan menjadikan bacaan al-Quran sebagai rutin harian.

“Mulai hari kita dengan bacaan al-Quran, kitab suci ini mengubah seseorang itu menjadi baik. Saya nasihatkan setiap masjid dan rumah ada ahli al-Quran.

“Malah, membaca al-Quran juga perlu bersungguh-sungguh kerana setiap huruf ada mukjizatnya. Teladani Imam an-Nawawi yang sentiasa tawaduk ketika menuntut ilmu,” ujarnya.

Orang ramai mendengar syarahan kehidupan Imam an-Nawawi sebagai teladan buat pencari ilmu yang disampaikan Ustaz Dr Adi Hidayat ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Festival kali kedua ini berlangsung sejak Ahad hingga 2 Jun dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Dimulakan dengan kupasan Kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dan Pameran Al-Wahyu yang membawa manuskrip tulisan tangan berusia ratusan tahun.

Turut berlangsung forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu yang menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.

Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.

Pengarang :