Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik pelancaran Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 31 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Peranan wanita semakin penting, bukan sekadar isi tempat ‘kosong’

SHAH ALAM, 31 MEI: Pemerkasaan wanita sentiasa menjadi agenda penting negeri malah sejumlah peruntukan disediakan bagi memajukan golongan tersebut.

Dato’ Menteri besar berkata sejak 2017 Selangor melaksanakan dasar untuk pemerkasaan wanita supaya tidak tercicir dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial.

“Peranan wanita bukan semata-mata mengisi ruangan kosong tetapi mereka memainkan peranan penting dalam pentadbiran. Sejak 2017, kita meletakkan wanita dalam urus tadbir untuk mewujudkan kesaksamaan gender.

“Selangor turut mewujudkan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita. Jelas Selangor bukan sekadar merangka dasar yang indah untuk dicatat tetapi memastikan fungsi dan tugasan wanita terus relevan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 yang bertemakan “Wanita Maju, Selangor Makmur” di sini, hari ini.

Amirudin berkata pentadbiran negeri juga tidak mengehadkan kuota 30 peratus golongan wanita dalam pentadbiran.

“Ia bukanlah angka muktamad sebaliknya penanda aras. jika ada peluang diisi lebih apa salahnya. Sewajarnya angka ini dikembangkan dengan mementingkan kepada kualiti. Pada hari ini, pegawai daerah Petaling Jaya, Gombak dan yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga wanita.

“Angka ini bukan sekadar mahu dicapai semata-mata sebaliknya melihat kualiti yang dipersembahkan supaya garis panduan dan matlamat tercapai,” katanya.


Pengarang :