Empat ekor gajah ditemukan mati di kebun buah-buahan di Kluang pada 1 Jun 2024. Foto Facebook Persatuan Haiwan Malaysia – Malaysia Animal Association
AGENDAJENAYAH

Empat gajah ditemukan mati di kebun buah-buahan, punca kematian masih disiasat

KLUANG, 1 JUN: Empat ekor gajah ditemukan mati di sebuah kebun buah-buahan di Kahang Timur di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata pihaknya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor sedang memantau mengenai kejadian melibatkan seekor gajah betina dewasa dan tiga anak gajah jantan itu.

“Saya berhubung dengan Perhilitan mengenai tindakan yang akan dilaksanakan. Perkara ini dalam makluman dan mereka sedang menyiasat serta telah mengambil sampel bangkai gajah tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Setakat ini, punca kematian semua gajah masih dalam siasatan Perhilitan. Semua bangkai gajah akan ditanam di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat tindakan sendiri sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terlibat dengan konflik haiwan liar seperti gajah.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan video di media sosial memaparkan empat ekor gajah ditemukan mati di sebuah kebun di daerah ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin ketika dihubungi berkata pihaknya akan melakukan bedah siasat terhadap semua haiwan liar itu bagi mengenal pasti punca kematian.

“Setakat ini, kita masih belum dapat mengesahkan sama ada semua gajah ini mati akibat diracun atau sebaliknya,” katanya.

Pada 13 April lalu, Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dilapor berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi lintasan gajah di seluruh negara dengan Johor melibatkan Jalan Kahang-Jemaluang, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Kluang-Kota Tinggi.

– BERNAMA


Pengarang :