Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (kanan) berkenan berbual bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berangkat pada Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada 31 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM zahir ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Agong

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook, Perdana Menteri berkata beliau bagi pihak Kerajaan Perpaduan mendoakan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja agar sentiasa berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Semoga baginda kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.

Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan. Dirgahayu Tuanku!,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :