Orang ramai mengunjungi reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Buku Muhammad paling laris, Hadis 40 jadi rebutan di pesta buku KL

SHAH ALAM, 4 JUN: Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal dan Hadis 40 Imam an-Nawawi: Sebuah Huraian Untuk Dunia Semasa menjadi dua naskhah paling laris di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) minggu lalu.

Diterjemahkan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), tujuh naskhah terbitan dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) turut memasuki carta 10 judul terlaris.

“Buku Muhammad kekal laris manis. Manakala 40 Hadis Imam Nawawi menjadi rebutan dek tempias Festival Turath Islami Selangor yang menghadirkan pengarang, Profesor Dr Syeikh Ali Jum’ah.

“PBAKL 2024 menyaksikan keanekaragaman pilihan pengunjung daripada buku agama, biografi, falsafah, sejarah dan sastera,” tulis IBDE di Facebook.

Buku Riwayat Rasullah diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) manakala Hadis 40 hasil kerjasama Akademi Pemikiran Turath.

Menurut IBDE, tujuh buku lain yang menjadi pilihan pembaca ialah Hikayat Hayy bin Yaqzan: Manusia Asuhan Rusa dan Detik-Detik Akhir Empayar Utsmaniah.

Selain itu, Ramuan Kebahagiaan, Gelagat dan Ragam Orang Melayu, ‘Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang, Memelihara Jiwa dan Penyucian Kalbu.

Manakala buku Menghidupkan Ilmu Agama jilid 3 terbitan dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MB menduduki tangga ke-10.

Sebelum ini, Pengurus Jualan dan Pemasaran IBDE Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata lebih 3,000 kitab Hadis 40 karangan bekas mufti besar Mesir terjual di PBAKL.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

Karya terbitannya boleh didapati secara dalam talian menerusi pautan http://bukuibde.com. Senarai buku baharu boleh disemak di Facebook Buku IBDE.

 


Pengarang :