AGENDAJENAYAH

Dua anggota kastam didakwa terima RM12,500, suapan lepaskan lori kargo

KUALA TERENGGANU, 4 JUN: Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,500, antara Disember 2017 hingga April tahun lepas.

Che Mohd Taufik Che Arif, 33, dan Mohd Afiq Ikhwan Ramli, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Che Mohd Taufik didakwa atas 13 pertuduhan menerima keseluruhan rasuah RM9,000 daripada J. Jehatis, pemilik Kalos Enterprise sebagai suapan untuk tidak memeriksa lori milik syarikat itu yang membawa keluar barang dari kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mohd Afiq pula berdepan satu pertuduhan menerima rasuah RM3,500 atas kesalahan sama.

Mereka didakwa menerima suapan itu melalui pemindahan dalam talian daripada Jehatis ke akaun masing-masing di Maybank cawangan Jertih di Besut.

Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide mencadangkan jaminan masing-masing RM20,000 terhadap Che Mohd Taufik dan RM10,000 terhadap Mohd Afiq, selain mengemukakan syarat tambahan untuk tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Beliau juga memohon agar kedua-dua mereka yang kini masih bertugas di KLIA, untuk tidak diberikan akses terhadap data dan maklumat Kastam pada masa material.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili kedua-dua tertuduh pula memohon agar jaminan lebih rendah ditawarkan, mengambil kira alasan kedudukan kewangan selain tiada risiko melarikan diri.

Hakim Mohd Azhar Othman kemudiannya menetapkan jaminan RM16,000 terhadap Che Mohd Taufik dan RM5,000 kepada Mohd Afiq dengan seorang penjamin, serta membenarkan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan sebelum menetapkan 18 Julai untuk pengurusan kes.

Terdahulu, SPRM memaklumkan akan mendakwa 23 pegawai dan anggota JKDM yang ditahan menerusi Op Samba 2.0 di enam mahkamah sesyen di seluruh negara sehingga Khamis ini.

Operasi bermula dari 11 hingga 25 Mac lepas itu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai JKDM bertugas di bahagian kargo KLIA yang akhirnya berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

— BERNAMA


Pengarang :