Orang ramai menyertai tarian kebudayaan masyarakat Jepun sempena Festival Bon Odori ke-46 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kesefahaman, hormat-menghormati kurangkan perbalahan budaya

Oleh Nina Muslim

BAKU, AZERBAIJAN, 5 JUN: Perang, ketika ramai yang mungkin menyatakan tiada faedahnya (merujuk kepada lagu 1969 War oleh Edwin Starr), sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi di merata dunia.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang kini memasuki tahun kedua, serta serangan Israel ke atas Gaza belum menunjukkan tanda untuk ditamatkan, begitu juga perang di Syria, Yaman dan Sudan.

Afghanistan, di bawah pemerintahan Taliban, kekal dalam suasana “tegang.” Negara jiran Azerbaijan dan Armenia pula menamatkan konflik di Karabakh yang berlarutan berdekad lamanya, namun terdapat kebimbangan sukar untuk mencapai keamanan yang berkekalan.

Menyingkap pula keadaan di Myanmar, perang saudara yang masih berterusan menyebabkan sekitar tiga juta pelarian mencari perlindungan di negara jiran Bangladesh dan negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Di sempadan Thailand dan Malaysia, keganasan yang sesekali tercetus, sebahagian besarnya kerana dakwaan penduduk di Selatan Thailand yang daripada segi kebudayaan serta etnik adalah orang Melayu, secara bebas tidak dapat mengamalkan kebudayaan serta agama Islam yang mereka anuti.

Dengan bertambahnya konflik, begitulah juga dengan bilangan pelarian.

Tahun lepas (2023), Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) melaporkan pada Harian Pelarian Sedunia, yang jatuh pada 20 Jun, jumlah pelarian pada penghujung tahun 2022 adalah seramai 35.3 juta, rekod terbaharu sejak Perang Dunia ke-2. Daripada jumlah itu, 2.4 juta memerlukan penempatan semula di negara ketiga.

Setakat ini, belum ada angka untuk tahun ini, meskipun UNHCR memberitahu Majlis Keselamatan pada 30 Mei bahawa bilangan pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di negara mereka di seluruh dunia akan bertambah tinggi.

Dengan kebanjiran pelarian mencari perlindungan, sering juga ini mencetuskan xenofobia (perasaan sangat takut atau benci terhadap orang asing) dan tentangan terhadap pendatang dalam kalangan penduduk tempatan, adakalanya mencetuskan keganasan. Salah satu punca adalah salah faham budaya atau ketidakserasian.

Para pakar berpandangan, menerima dan menghormati pelbagai budaya adalah kunci untuk menjamin keamanan namun terdapat juga keperluan untuk melihat ke dalam serta memahami apa yang dimaksudkan dengan budaya dan adat resam.

Budaya cara keamanan atau keganasan 

Pada Dialog Antara Budaya di Forum Dunia ke-6 di Baku, Azerbaijan, baru-baru ini, pakar dunia dan pembuat dasar membincangkan bagaimana pertukaran budaya boleh menggalakkan keamanan di dalam dan di luar negara.

Pakar kriminologi Dr Yemisi Laura Sloane memberitahu Bernama, salah faham mengenai budaya sebenarnya adalah pergelutan kuasa antara orang mengenai idea tertentu mereka dan bukanlah apa yang dikatakan budaya.

Beliau menggunakan contoh pembunuhan untuk memelihara maruah (honor killing), yang melibatkan pelaku yang patuh kepada adat akan membunuh anak perempuan mereka atau saudara perempuan atas alasan yang didakwa mengaibkan keluarga.

“Secara umum, budaya adalah cara hidup. Ini termasuk, saya tak tahu, mungkin makanan anda, agama anda dan seterusnya. Kini, apabila muncul kuasa atau berlaku ketidakseimbangan kuasa, ia tampak seperti budaya tetapi sebenarnya bukan kerana budaya adalah berbentuk komunal (hak secara bersama) … bersetuju untuk mematuhi nilai-nilai tertentu,” katanya.

Beliau menambah, contoh perebutan kuasa, seperti pembunuhan untuk memelihara maruah, sebenarnya berdasarkan ideologi.

Meskipun melanggar undang-undang, pembunuhan untuk memelihara maruah masih berlaku di beberapa bahagian Timur Tengah, Selatan Asia dan Afrika, dalam kalangan imigran dari komuniti berkenaan. Perkara yang mengaibkan itu biasanya berkait dengan kegiatan seksual, mahupun sekiranya wanita itu diperkosa, atau melibatkan perkahwinan, contoh keengganan untuk berkahwin atau berkahwin tanpa restu keluarga.

“Saya lebih berkuasa kerana gender/jantina saya. Saya lebih berkuasa daripada anda kerana saya seorang lelaki. Jadi itu yang mengakibatkan pembunuhan untuk memelihara maruah. Anda mengaibkan saya sebagai seorang lelaki, jadi saya akan bunuh anda. Oleh yang demikian, ini bukan kerana budaya. Ia lebih kepada patriarki. Ketidaksamaan gender,” kata Sloane.

Beliau menambah, adat yang negatif seumpama itu boleh ditinggalkan, untuk kesejahteraan komuniti dan masyarakat, meskipun proses itu mungkin sukar.

Rasa lebih hebat 

Perebutan kuasa dalam interaksi antara budaya muncul sebagai xenofobia dan perasaan etnosentrik serta aksi.

Menurut pakar antropologi dan sosiologi Profesor Madya Dr Azrina Husin, xenofobia dan etnosentrik adalah hasil daripada “cara kita mengatur diri kita, bagaimana masyarakat mengaturnya. Jadi pada asasnya, ia adalah mengenai in-group dan out-group.”

Beliau berkata, xenofobia merangkumi tanggapan negatif, perasaan negatif dan sikap negatif yang ada pada diri seseorang terhadap kumpulan lain atau orang, lazimnya tetapi bukan semestinya dari negara lain.

Mengenai etnosentrisme, ia adalah perasaan budayanya adalah lebih hebat daripada orang lain.

“Kita berasa (orang lain) tidak setaraf. Dengan maksud lain, kita menganggap budaya kita lebih hebat, dan perlu menjadi penanda aras untuk budaya lain yang kita berinteraksi,” katanya menerusi Zoom.

Beliau menambah, ada yang boleh berasa bahawa out-group mengancam cara hidup, budaya serta identiti orang lain. Sekiranya keadaan ini tidak diuruskan dengan baik, perasaan ini boleh memuncak ke arah keganasan, keganasan berasaskan etnik atau keganasan terhadap kumpulan lain.

Xenofobia dan etnosentrisme tidak mungkin menjurus kepada keganasan tanpa ada yang mendorongnya, seperti retorik yang mengapi-apikan. Berbanding di masa lalu, ada pihak seperti media legasi dan undang-undang berjaya mengawal perbuatan penghasut berkenaan, penggunaan meluas media sosial serta pengaruh media tradisional yang semakin merosot, mencetuskan apa yang dipanggil ‘stochastic terrorism’.

‘Stochastic terrorism’ didefinisikan sebagai tindakan memburukkan seseorang atau kumpulan secara umum sehingga merangsang perbuatan ganas.

Sebagai contoh, media sosial dipersalahkan kerana penyebaran sentimen anti-pendatang dan anti-pelarian di Malaysia sewaktu sekatan Covid-19.

Azrina, yang juga ahli Fakulti Sains Sosial di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang memberitahu Bernama, ramai yang mengambil kesempatan daripada keadaan tanpa nama anonymous media sosial untuk menyebarkan kata-kata berbaur kebencian.

Dengan menyifatkan kebebasan bersuara sebagai ‘batu asas demokrasi’, beliau bagaimanapun memperingatkan bahawa konsep kebebasan bersuara sudah disalahgunakan.

“(Orang beranggapan) semua boleh (di bawah) kebebasan bersuara. Maksud saya, saya boleh bercakap (perkara yang teruk) dan itu adalah pandangan saya … boleh cakap apa yang mereka mahu cakap tanpa menjaga adab, tanpa ada tanggungjawab, menyebar kata-kata kebencian … tetapi itu bukan maknanya kebebasan bersuara,” katanya.

Di forum berkenaan juga, pakar menyatakan penting untuk menekankan serta menguatkuasakan standard tertentu terhadap media sosial dengan menambah, tindakan itu bukan menyekat kebebasan bersuara, tetapi menggalakkannya.

Pesuruhjaya Organization of American States (OAS) untuk memantau dan memerangi anti-Semitisme Fernando Lottenberg, dari Brazil berkata, platform semasa media sosial menggalakkan kemarahan, yang biasanya dicapai menerusi kebencian dan rangsangan, dan tidak banyak yang dilakukan untuk menyekatnya.

Beliau menambah, kebebasan seumpama itu tidak semestinya baik untuk masyarakat.

“Kita mesti menghargai (kebebasan bersuara), mengambil berat tentangnya, yang memberi peluang kepada penyebaran idea. Tetapi pada masa yang sama, kebebasan itu bukan mutlak.

“Ia mesti diiringi dengan prinsip lain, dan antaranya, maruah orang, rasa hormat, tidak diskriminasi, tidak menerima perkauman atau ucapan kebencian, ” katanya.

Program sosial 

Ketika perundangan diharap dapat mengurangkan insiden ucapan kebencian, Lottenberg memberi amaran bahawa kebanyakan tindakan mesti mengikut kes. Paling penting, algoritma (algorithm) memerlukan sentuhan manusia.

“Pada pandangan saya pengkuratoran, penjagaan manusia, pandangan manusia, terhad kepada kuantiti perkara yang dipos secara umum, perlu mempunyai peranan penting serta peranan terakhir dalam memutuskan apa yang sedia untuk diterbitkan atau berhak untuk diterbitkan dan kekal dalam jaringan, ” katanya.

Bagaimanapun, kebolehjadian syarikat teknologi, terutamanya dengan semakin meningkat penggunaan AI dalam platform digital, menggunakan manusia untuk kesederhanaan pengisian tidak mungkin berlaku, tanpa dijadikan keperluan.

Meskipun banyak cabaran, masih ada harapan. Menurut pakar, cara terbaik untuk menyemai kesedaran dan mendidik keterbukaan minda adalah antaranya menerusi program sosial, di rumah dan di tempat kerja.

Menurut Azrina, penting untuk mendepani teknologi dengan perasaan ingin tahu tentang budaya lain dalam keadaan dunia yang semakin saling berhubungan. Beliau turut memberi amaran agar tidak semuanya dilakukan dalam talian kerana interaksi sesama manusia dapat meningkatkan kefahaman antara budaya.

Sloane, pensyarah dari Westminster University di UK, bersetuju dengan pandangan demikian. Beliau berkata, perbalahan antara budaya akan terus berlaku sehingga pihak majoriti komited untuk menerima budaya masing-masing.

“Makna sebenar penyertaan bukan tentang siapa yang lebih baik daripada yang lain, budaya mana yang lebih baik. Ia adalah mengenai daya toleransi antara satu sama lain,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :