Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Shahman Jalaludin mengangkat sumpah terima jawatan di Bilik Siantan Menara Majlis Perbandaran Selayang, Selayang pada 05 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Shahman dilantik YDP MPS, visi status bandar raya 2030

GOMBAK, 5 JUN: Shahman Jalaludin mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang baharu hari ini.

Majlis tersebut disaksikan Timbalannya Adi Faizal Ahmad Tarmizi, Orang Besar Daerah Gombak Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Haji Wan Mahmoof Pa’wan Teh, ahli majlis serta pengurusan tertinggi MPS di Bilik Siantan, Menara MPS di sini.

Berucap selepas mengangkat sumpah, Shahman berkata beliau akan menumpukan visi MPS untuk mencapai status bandar raya menjelang 2030.

“Begitupun saya pasti ia bukan sekadar cita-cita. Banyak cabaran dan rintangan kita bakal tempuhi selain perlunya rancangan rapi,” katanya.

Selain itu beliau juga memberi fokus untuk mencapai sasaran menjadikan Selayang sebagai bandar rendah karbon dan bandar pintar.

Shahman berkata MPS juga komited memastikan objektif  Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menjadikan Selangor Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang 2025 tercapai.

Shahman, 45, berkelulusan Sarjana Sains Sosial Analisa Strategi dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan pegawai daerah Klang menggantikan Dato’ Mohd Yazid Sairi yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) yang baharu pada 1 Mac lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Shahman Jalaludin pada majlis mengangkat sumpah terima jawatan di Bilik Siantan Menara Majlis Perbandaran Selayang, Selayang pada 05 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :